Rencana

Bila Bersahabat …. Jangan Jadi Kacang Lupakan Kulit

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 banyak mengajar UMNO dan Barisan Nasional mengenai erti persahabatan. Ketika kita berkuasa, semua mengaku kawan, bila kita tewas batang hidung pun tak nampak.

Namun, kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional yang masih kekal bersama parti tetap setia. Kekal bersama demi prinsip untuk mempertahankan perjuangan walaupun sedih melihat rakan sendiri meninggalkan parti hanya kerana mahu kekal berkuasa.

Ketika itu, Pakatan Harapan menjadi Kerajaan. Dan saat itu Pakatan Harapan setiap hari mengaibkan UMNO dan Barisan Nasional. Kata mereka, orang UMNO dan Barisan Nasional ini rasuah. Mereka kata kami tak amanah.

Tak mengapalah. UMNO dan rakan-rakannya yang setia ketika susah dan senang iaitu MCA serta MIC terus menggorak langkah sebagai pembangkang. Kami bertatih untuk berjalan menjadi pembangkang yang baik buat Malaysia.

Kerana itu adalah janji kami. Itulah perjuangan yang kami warisi dari pemimpin parti kami yang terdahulu. Iaitu terus kekal berkhidmat buat rakyat dan negara. Walau dalam keadaan apa sekali pun.

Alhamdulillah, lama kelamaan kami berjaya menjadi pembangkang yang baik. Ini diiktiraf sendiri oleh rakyat yang menunjukkan kembali sokongan mereka kepada UMNO dan Barisan Nasional. Di media-media sosial, kedai-kedai kopi hinggakan ke pejabat-pejabat sekali pun semuanya mula bercakap mengenai setiap isu yang UMNO dan Barisan Nasional bangkitkan.

Sehinggalah pada penghujung Februari lalu apabila Pakatan Harapan menghadapi krisis kepimpinan hingga menyebabkan Kerajaan mereka sendiri tumbang. Mereka berpecah dan akhirnya memerlukan UMNO dan Barisan Nasional bersama dengan gabungan baharu iaitu PAS menentukan Kerajaan.

Walaupun UMNO dan Barisan Nasional merupakan parti terbesar di dalam komponen Kerajaan yang baharu, namun demi semangat cintakan negara dan rakyat, kerusi Perdana Menteri diberikan kepada pemimpin yang mewakili parti yang mempunyai kurang kerusinya di Parlimen. Ini bukti bahawa UMNO, Barisan Nasional dan PAS tidak tamakkan kuasa. Yang penting adalah negara. Yang penting adalah rakyat.

Ia berlarutan ke negeri-negeri lain seperti Perak. Walaupun mempunyai kerusi lebih banyak, UMNO dan Barisan Nasional sanggup berkompromi dan memberi laluan kepada wakil BERSATU untuk menjadi Menteri Besar. Tolak ansur UMNO dan Barisan Nasional ini dibuat kerana kita tidak mahu melihat polemik politik terus berpanjangan.

Tetapi itu bukanlah alasan buat mana-mana pihak untuk terus menekan UMNO dan Barisan Nasional. Jangan ada yang cuba memijak kepala kami. Sikap tolak ansur kami sepatutnya dihargai oleh pimpinan Kerajaan hari ini. Bukannya diperkotak-katikkan.

Kesabaran kami ada hadnya. Jangan kerana sikap angkuh sesetengah pihak hingga sanggup mengenepikan UMNO dan Barisan Nasional. Walhal, kami adalah parti yang besar. Bila tibanya mana-mana Pilihan Raya Kecil, jentera UMNO dan Barisan Nasional lah yang bekerja keras untuk memenangkan calon daripada parti gabungannya.

Bila dah menang. Seperti di Pilihan Raya Negeri Sabah tempoh hari, UMNO dan Barisan Nasional seolah-olah diketepikan. Wakil rakyat UMNO dan Barisan Nasional tidak diangkat menjadi Ketua Menteri. Yang dilantik ke jawatan itu adalah bekas wakil rakyat UMNO yang telah melompat parti.

Keputusan ini adalah sesuatu yang tidak adil. Sebagai sebuah parti yang besar, seharusnya UMNO dan Barisan Nasional berhak diberi jawatan penting apatah lagi jawatan Ketua Menteri.

Tetapi ini tidak berlaku, kerana mereka-mereka yang didalam gabungan UMNO tidak setia kepada persahabatan. Yang mereka tahu hanyalah survival politik mereka. Mentaliti ini harus diubah

Jika tidak lagi berminat untuk berkerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional, keluarlah dari gabungan ini secara terhormat.

Paling tidak, janganlah menjadi duri dalam daging. Jangan cuba bermain api. Kerana tahap kesabaran kami ada hadnya. Kami bukan tunggul. Tetapi kami adalah sebuah parti Melayu yang terbesar di negara ini. Sejak di awal Kemerdekaan negara, parti inilah yang memperjuangkannya.

Kemarahan kami ini bukan kerana UMNO dan Barisan Nasional tidak mendapat jawatan. Tetapi kami marah dan berkecil hati kerana seolah-olah kami dipinggirkan.

Justeru, akhir sekali, janganlah jadi seperti kacang lupakan kulit. Hargailah semangat setiakawan yang telah terjalin. Kerana semangat setiakawan merupakan prinsip parti sejak sekian lama. Akhirnya kita mahukan sebuah Kerajaan yang stabil dari dulu, kini dan selamanya.



DATO’ MOHD ZAIDY ABDUL KADIR

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan
29 September 2020