Bukan Masa Berpolitik, Pemuda UMNO Putrajaya Utamakan Rakyat
PUTRAJAYA – Penularan pandemik COVID-19 yang dianggap semakin meruncing ketika ini hinggakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kembali dilaksanakan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menjadikan Pemuda UMNO Putrajaya bertindak turun padang lantaran prihatin terhadap nasib rakyat.
Ketuanya, Dr Tengku Iqbal Munawwir Tengku Adnan berkata, ini bukanlah masa untuk berpolitik sebaliknya Pemuda UMNO sentiasa turun padang dengan mengutamakan keperluan dan kebajikan rakyat khususnya dalam keadaan musibah CIVID-19 yang masih berlaku.
“Kita gembling Pemuda UMNO Putrajaya untuk memastikan penghantaran bantuan dapat dilaksanakan di semua peringkat di sini.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, hari ini Pergerakan Pemuda UMNO Putrajaya bersama-sama AJK Pemuda dan juga Ketua Pemuda Cawangan serta rakan-rakan setempat dapat bersama-sama untuk menjadi pemudahcara dan sebagai tenaga penghantar bagi memastikan sumbangan dari Parlimen Putrajaya dapat diagihkan,” katanya.
Ujarnya, sumbangan melibatkan bahan utama makanan iaitu beras akan diberikan secara berperingkat kepada pengundi-pengundi Putrajaya terlebih dahulu yang dikelolakan dan dikenal pasti penerimanya oleh Badan Amal Kasih Ibu, Putrajaya.
“Kita akur bahawa COVID-19 ini adalah cabaran yang perlu kita hadapi bersama, maka Pemuda UMNO Putrajaya sepakat dengan kepimpinan parti bagi melipatgandakan usaha memastikan tidak ada individu yang tertinggal.
“Kesejahteraan dan kebajikan setiap warga Putrajaya sentiasa menjadi keutamaan ayahanda kita, YB Datuk Seri Tengku Adnan malah beliau yang lebih mesra dengan panggilan ‘ketua kampung’ amat prihatin dan mengambil berat hal-hal rakyat.
“Semoga bantuan ini dapat membantu meringankan beban yang dihadapi dan sama-samalah kita berdoa agar kita semua sentiasa dilindungi serta negara kita dibebaskan dari wabak COVID-19.”
Dalam masa yang sama, Dr Tengku Iqbal turut menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada anggota Pemuda UMNO Putrajaya yang sanggup sama-sama menyinsing lengan bagi memastikan usaha pengagihan bantuan lancar.
“Insya-Allah, usaha bagi memastikan rakyat dibantu akan terus dibuat dengan melibatkan semua peringkat bukan sahaja Pemuda UMNO Putrajaya tetapi kita juga akan bergerak selari dengan Wanita UMNO Putrajaya dan Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan Putrajaya bagi menghantar bingkisan ‘beg kasih ibu’ berisi makanan untuk warga Putrajaya.”
Dilaporkan, bantuan tersebut adalah antara kesinambungan sumbangan yang berterusan dari Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan sejak wabak pandemik COVID-19 berlaku pada Mac lalu.
Selepas agihan beras, Pemuda UMNO Putrajaya dijadual membantu Wanita UMNO Putrajaya dan Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan Putrajaya menyampaikan bingkisan ‘beg kasih ibu’ yang mengandungi makanan keperluan asas seperti kopi, teh, milo, susu, biskut dan lain-lain yang angaran harga RM120 bagi setiap satu. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.