Aktiviti & Komuniti

Edaran 20 Ribu Kampit Beras Untuk Warga Putrajaya

PUTRAJAYA – Parlimen Putrajaya akan mengedarkan 20,000 kampit beras kepada warga tempatan khususnya mereka yang terkesan akibat wabak pandemik COVID-19.

Dalam hal ini, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berharap agar bantuan yang diberikan akan dapat membantu meringankan beban rakyat yang terjejas khususnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kembali dilaksanakan di Putrajaya.

Terdahulu, kerajaan telah melaksanakan PKPB di Putrajaya termasuk di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober hingga 27 Oktober ini.

Antara aktiviti-aktiviti yang dilarang adalah seperti pergerakan keluar masuk atau merentas daerah. Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

Selain itu, hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan, semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup.

Bukan itu saja, masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain adalah ditutup selain semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah tidak dibenarkan.

Walau bagaimanapun, kerajaan masih membenarkan semua kegiatan ekonomi di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya beroperasi seperti biasa. – UMNOPutrajaya