Isu Semasa

Prinsip Raja Berperlembagaan Dan Demokrasi Berparlimen Utamakan Kebajikan Rakyat

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Raja-Raja Melayu yang menghadiri perbincangan khas di Istana Negara hari ini menegaskan pentingnya prinsip Raja Beperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen mengutamakan kebajikan rakyat jelata.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata prinsip tersebut turut diterjemahkan melalui budaya pemerintahan meluhurkan perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang pada setiap masa.

“Raja-raja turut menegaskan pentingnya prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang dan mengutamakan kebajikan rakyat jelata,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Syed Danial berkata perbincangan itu memahami keseriusan implikasi permohonan kerajaan supaya darurat diisytiharkan terhadap imej negara, pandangan dunia antarabangsa, keyakinan pelabur dari luar dan dalam negara serta aspek kemakmuran negara dan kehidupan rakyat jelata.

“Baginda (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dengan kearifan dan bijaksana berpendirian amat penting untuk perkara tersebut dibincangkan bersama Raja-Raja Pemerintah,” katanya.

Dalam perbincangan dengan Raja-Raja Melayu petang tadi, Seri Baginda bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Perbincangan itu dihadiri oleh Sultan Terengganu, Raja Perlis, Sultan Selangor, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Johor, Sultan Perak, Sultan Kedah dan Pemangku Raja Pahang.

Sementara itu, Syed Danial berkata Raja-Raja Pemerintah turut menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memilih melakukan rundingan dan konsultasi sebelum memberikan sebarang perkenan dan menzahirkan apa-apa keputusan.

“Semangat tersebut adalah selaras dengan budaya syura yang sangat dianjurkan oleh Islam ketika ummah menghadapi sesuatu persoalan yang memerlukan penyelesaian,” katanya.

Syed Danial berkata dalam perbincangan tersebut, Raja-raja telah mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka dan berterus-terang dalam semangat saling menghormati agar dapat dijadikan bahan panduan dan rujukan Seri Paduka Baginda membuat ketetapan.

Katanya, Raja-raja juga berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan dan peranan Seri Paduka Baginda untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa. – BERNAMA