Berita

Pemuda UMNO Putrajaya Terjemah Hasrat Rakyat, Jadi Jentera Untuk Parti

PUTRAJAYA – Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya merealisasikan hasrat rakyat untuk bersama-sama dalam berdepan dugaan dengan berusaha memastikan setiap kesusahan dihadapi tanpa bersendirian.

Bagi ketuanya, Dr Tengku Iqbal Munawwir, Pemuda UMNO Putrajaya adalah anggota jentera parti yang turun padang bagi membantu rakyat yang sekarang ini terkesan dengan pelbagai kerumitan ekoran penularan pandemik COVID-19 yang masih berlarutan.

Katanya, biarpun sekarang ini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakan namun itu bukan alasan untuk anggota Pemuda UMNO berdiam diri sebaliknya inilah ruang terbaik bagi menunaikan amanah parti membantu rakyat.

“Kami mahu menjadi jentera UMNO yang turun padang demi bersama rakyat kerana UMNO itu dari rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat. Pemuda UMNO Putrajaya adalah pemudah cara, kami bekerja dengan kudrat dan tenaga golongan muda yang kami sedar bahawa ia sangat diperlukan dan semangat serta iltizam kami ini akan terus disuburkan bukan hanya untuk UMNO tetapi juga demi khidmat kepada orang ramai,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan anggota parti untuk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan mengutamakan kesihatan serta keselamatan bersama.

Terdahulu beliau bersama-sama ahli jawatankuasa serta anggota Pemuda UMNO Putrajaya membantu mengangihkan barangan asas berupa beras yang diperuntukkan untk warga tempatan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sumbangan kepada rakyat tersebut diberikan melalui Pusat Khidmat Parlimen Putrajaya yang dibuat bagi membantu meringankan beban rakyat khususnya dalam keadaan berdepan kesulitan akibat pandemik COVID-19.

Untuk rekod Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 9 Nov ini ekoran perkembangan semasa penularan yang masih berkembang.

Dilaporkan, semalam kes baharu COVID-19 dicatatkan di Selangor 150 kes, Kuala Lumpur 19 kes dan Putrajaya satu kes. – UMNOPutrajaya