Aktiviti & Komuniti

Keprihatinan Berterusan, ‘Ketua Kampung’ Sentiasa Bersama Rakyat

PUTRAJAYA – Keprihatinan ‘Ketua Kampung’ Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor terhadap masyarakat bukan hanya kepada yang berdepan keperitan semata-mata tetapi juga meraikan penduduk setempat dengan pelbagai sumbangan termasuklah hadiah hari lahir.

Sememangnya sudah menjadi kelaziman kepada penduduk Putrajaya yang amat mengenali wakil rakyat mereka apabila sentiasa diingati dan dihargai dengan disalurkan pelbagai perkara sama ada barangan atau perkhidmatan untuk orang ramai.

Dalam sumbangan hari ini, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya telah turun padang menyantuni angota polis di Balai Polis Presint 11 dan pengundi Jalan 11D Presint 11, Putrajaya.

Katanya, sumbangan dan pemberian dari Ahli Parlimen yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya adalah satu kebiasaan kepada warga tempatan dan sebagai pemimpin, Datuk Seri Tengku Adnan amat mengambil berat hal-hal berkaitan rakyat.


“Saya hadir kali ini bagi menyampaikan salam dari ‘Ketua Kampung’ kita yang sangat prihatin terhadap orang ramai. Ini bukanlah satu perkara baharu kepada penduduk Putrajaya kerana sebagai pemimpin, beliau sentiasa ada untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata, sumbangan yang dihulurkan ini bukan sekadar untuk ingatan dari pemimpin kepada rakyat tetapi juga adalah penghargaan dari Datuk Seri Tengku Adnan kepada orang ramai yang sentiasa menyokong usaha-usaha demi kelestarian dan kesejahteraan Putrajaya.

“Datuk Seri Tengku Adnan amat menghargai orang ramai khususnya warga Putrajaya kerana beliau sedar sebagai pemimpin rakyat adalah keutamaan, dari rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat… itulah pegangan beliau sejak dulu lagi,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru masyarakat untuk berganding bahu dan mengembling tenaga memastikan usaha ‘Ketua Kampung’ sentiasa disokong. – UMNOPutrajaya