Aktiviti & Komuniti

Sedia Gerak Gempur PRU-15 Antara Agenda Pemuda UMNO Putrajaya

PUTRAJAYA – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya menyedari bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan ketidaktentuan politik yang melanda negara ini.

Sehubungan itu, persediaan dan pelaksanaan gerak gempur bagi Pemuda UMNO Putrajaya untuk berdepan PRU ke-15 menjadi antara agenda utama pergerakan tersebut dan sentiasa diperhalusi dari semasa ke semasa.

Hal tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya yang berlangsung malam tadi dengan dipengerusikan oleh ketuanya, Dr Iqbal Munawwir.

Turut dibincangkan adalah persiapan menjelang acara pernikahan anakanda Ahli Parlimen Putrajaya iaitu Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan yang bakal dilaksana dalam Majlis Kenduri Rakyat dengan suasana norma baharu, Ahad ini.

Dalam hal ini, Pemuda UMNO Putrajaya adalah antara jentera penggerak yang akan membantu memastikan majlis tersebut akan berlangsung dalam norma baharu bersesuaian dengan pelaksanaan PKPP sekarang ini iaitu dibuat melalui kehadiran para jemputan secara pandu lalu sahaja tanpa perlu turun dari kenderaan.

Turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah penganjuran julung kalinya, e-sport di Putrajaya hasl aplikasi Pemuda UMNO tempatan.

Mesyuarat yang diadakan di Pejabat UMNO Bahagian di sini berlangsung lancar dengan kehadiran ahli jawatankuasanya termasuklah Naib Ketua Pemuda UMNO Putrajaya, Mohd Zusheidy Zulkifli.

Terdahulu, bacaan Yassin beramai-ramai dibuat agar perbincangan yang dilaksana mendapat keberkatan dan segala perancangan diredhai Allah SWT. – UMNOPutrajaya