Berita

Pandemik COVID-19: Rakyat Perlu Terus Dibantu – Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa dukacita dengan perkembangan terkini COVID-19 apabila semalam mencatatkan jumlah mereka yang dijangkiti cukup tinggi iaitu sebanyak 4,029 kes.

Menurut beliau jumlah tersebut adalah kes tertinggi pernah direkodkan walaupun selepas beberapa hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikuatkuasakan.

Jelas beliau PKP yang sepatutnya mengurangkan jumlah jangkitan menambah kes harian pula dan semoga trend ini tidak berterusan.

“Namun kita jangan putus asa. Terus menaruh keyakinan kepada para “frontliners” yang sedang berjuang sepenuh hati. Kita beri kerjasama penuh kepada mereka. Patuh SOP. Bersama-sama membantu barisan hadapan negara mengharungi cabaran ini.

“Sebab itu juga saya percaya matlamat utama PKP mengurangkan pergerakan, orang ramai tidak boleh “take for granted”. Antaranya Taman Awam dibuka semula kepada orang ramai semasa PKP dibimbangi mengundang risiko penularan.

“Peniaga-peniaga kecil dan mereka yang berpendapatan harian pula masih terdesak untuk keluar bekerja bagi menyara diri dan keluarga. Demi mencari sesuap nasi mereka nekad memberanikan diri memgambil risiko walaupun dalam keadaan jualan yang lesu.

“Mereka yang tidak dibenarkan berniaga langsung seperti peniaga pasar malam pasti lebih berat dilema dan bebanan dihadapi. Pasti mereka perlu melakukan serba sedikit pergerakan untuk menampung sumber pencarian yang hilang,” katanya menerusi catatan di facebook.

Tegas Ahmad Zahid lagi jika mahu orang ramai benar-benar tidak ke sana ke sini dan berada di rumah, mereka perlu dibantu antaranya kelulusan moratorium bayaran pinjaman bank secara automatik dan pengeluaran skim i-Sinar kategori dua tanpa syarat perlu disegerakan.

“Selepas bebanan kewangan ditanggung rakyat dikurangkan, bolehlah kita mengenakan pelaksanaan PKP yang lebih ketat untuk melawan penularan COVID-19.

“UMNO terus mendesak kelulusan moratorium bayaran pinjaman bank secara automatik dan skim i-Sinar tanpa syarat untuk rakyat,” ujarnya. – UMNO Online