Darurat, PKP & Kelangsungan Hidup Rakyat
BARU-BARU ini tular apabila sumbangan ayam beku di Parlimen Putrajaya yang dilaksana oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya diserbu oleh orang ramai lantaran bantuan secara terbuka berdasarkan siapa cepat dia dapat hanya untuk 1,000 terawal.
Pelbagai pihak memberikan pandangan yang rata-rata lebih risau dengan penularan wabak COVID-19 ekoran kesesakan orang ramai semata-mata untuk mendapatkan ayam beku percuma sumbangan dari Ahli Parlimennya.
Lebih dari itu, Pemuda UMNO Putrajaya dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika menganjurkan program pengedaran ayam beku di Presint 9.
Sememangnya pihak penganjur sendiri tidak menyangka akan maklum balas orang ramai yang akan hadir dalam jumlah sedemikian rupa kerana agihan makanan dan barangan keperluan kerap kali dilaksana dalam kaedah sama malah pada minggu sebelumnya, Pemuda UMNO Putrajaya mengagihkan beras dengan konsep pandu lalu juga.
Namun malangnya, sehingga ke hari ini kerajaan atau mana-mana pihak seakan masih gagal memikirkan persoalan kehadiran orang ramai dalam jumlah yang besar walaupun hanya untuk mendapatkan dua ekor ayam beku.
Fikirkanlah… adakah orang awam ini sanggup menggadaikan aspek keselamatan dan terdedah dengan risiko jangkitan dalam khalayak hanya kerana ayam beku… maka sudah pasti semuanya bersebab.
Sewajarnya insiden orang awam menyerbu pemberian ayam beku percuma ini menjadi indikator kepada keadaan ekonomi rakyat yang tentunya amat terkesan ekoran penularan COVID-19 ini.
Rakyat susah… memang susah, perit dan perlukan bantuan. Hal tersebut amat difahami oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang merealitikan bantuan berupa sumbangan barangan makanan yang pelbagai. Bukan hanya ayam beku tetapi sebelumnya juga telah dilaksana agihan beras, roti, biskut, minyak, telur, ikan kembung dan macam-macam lagi.
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya adalah pemudahcara yang bertindak sebagai jentera bagi menyampaikan barangan dari Ahli Parlimen yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya demi memastikan setiap rakyat mendapat bantuan.
Hal ini bukanlah baharu bagi warga Putrajaya kerana sudah menjadi kebiasaan kepada mereka menerima pemberian dari ‘ketua kampungnya’. Namun begitu, semenjak wabak COVID-19 menular pada suku pertama tahun lalu, sumbangan yang sebelum ini hanya kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan telah diperluas kepada semua peringkat.
Ahli Parlimen Putrajaya sedar bahawa rakyat mesti dibantu dan perkara asas yang sangat diperlukan adalah barangan makanan yang mesti ada bagi mengisi perut ahli keluarga.
Rakyat inginkan sokongan, perlukan perhatian dan akur atas setiap keputusan yang dilaksanakan oleh kerajaan, namun dalam soal untuk mengisi perut anak isteri di rumah, ketua keluarga akan meletakkannya sebagai keutamaan.
Ahli Parlimen Putrajaya cakna keadaan rakyat, melarat dan terhimpit tanpa ada ruang untuk meraih harapan.
Bayangkanlah, dalam keadaan ekonomi negara meleset, ada keluarga yang ketuanya kehilangan kerja sedangkan bebanan keperluan harian masih juga perlu dilaksana.
Untuk seorang ketua keluarga perlulah menyelesaikan bayaran tempat tinggal sama ada sewa atau beli melalui ansuran bulanan di bank, bayaran pinjaman kenderaan atau pinjaman peribadi lain yang semuanya perlu diusaikan ekoran moratorium bukan automatik apabila darurat dan PKP dilaksana.
Sungguh… ramai yang berharap apabila Perdana Menteri umumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) baru-baru ini namun nampaknya hampa kerana tidak ada yang mengujakan.
Terbit juga cahaya di hati rakyat apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) laksanakan skim i-Sinar tapi macam-macam pula syaratnya yang semua lebih kepada menyusahkan lantas sekali lagi menghampakan.
Sehingga kini, walaupun tempoh PKP 14 hari bakal berakhir dan disambung lagi hingga 4 Februari depan, nampaknya masih belum ada bantuan atau insentif signifikan yang diumum kerajaan walhal rakyat semakin tertekan.
Kumpulan yang terputus pendapatan atau pendapatan mereka jatuh mendadak akibat PKP ini sudah lama mengeluh kerana mereka ada tanggungan, ada keluarga tambah-tambah pula bagi mereka yang ada anak-anak bersekolah… lagilah pelbagai pula rencam keluhannya.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor terus fokus membantu rakyat, walaupun akhir tahun lalu disabitkan pertuduhan bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas alasan menerima suapan (walaupun dilihat lebih kepada pertuduhan politik) namun beliau tidak kendur menghulur bantuan.
Sekurang-kurangnya, barangan makanan keperluan asas khususnya beras tidak putus sebagai bekalan. Terhimpit, melarat, susah sekalipun perut rakyat mesti diisi setiap hari dan inilah yang direalitikan oleh ‘ketua kampung’ berhati dermawan di Putrajaya.
Begitu juga dengan gerakan Pemuda UMNO Putrajaya yang terus turun padang menyalurkan bantuan, walaupun setelah dikompaun dan diberikan pelbagai label oleh netizen namun semangat demi rakyat tidak luntur.
Biarlah… walaupun bantuan yang dihulur bukan atas nama sinar, PENJANA, PERMAI, PRIHATIN atau apa-apa sekalipun, namun beras dan barangan keperluan dapur tetap digerakkan di Putrajaya… ‘dari rakyat, untuk rakyat, kerana rakyat’ ! – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.