Bantuan Berterusan: Beras & Ikan Kembung Demi Ringankan Beban Rakyat
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempergiat gerakan melaksanakan bantuan kepada warga Putrajaya kerana sedar bahawa rakyat hari ini berdepan kesempitan dan bebanan dalam menjalani kehidupan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Hari ini Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya di bawah kepimpinan Dr. Tengku Iqbal Munawwir bersama barisan ahli jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian, ketua-ketua Pemuda cawangan dan jentera Pemuda Putrajaya turun padang.
Turut serta Naib Ketua UMNO Bahagian Sdr. Ahmad Faisal Abd Karim; Ketua Wanita Bahagian Pn. Husna Abd Rahman berserta AJK, menjadi pemudahcara bagi menyampaikan bantuan berupa beras berserta ikan kembung yang dilaksanakan di sekitar Presint 5, 6, 8 dan Presint 18.
Tengku Adnan yang lebih akrab dengan panggilan ketua kampung menzahirkan kesyukuran atan kelancaran pelaksanaan sumbangan yang disalurkan kepada rakyat.
“Syukur Alhamdulillah. Ini adalah kesinambungan daripada program bantuan beras kepada 63 buah surau di sekitar Putrajaya, ayam beku dan ikan kembung berkonsepkan secara pandu lalu,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya.
Terdahulu program bantuan beras dan ikan telah dilakukan di sekitar blok-blok apartment Presint 16, 17, 14 dan 15 yang dilaksana secara berperingkat.
Beliau berharap agar bantuan yang disalurkan akan dapat meringankan beban rakyat berdepan dengan peningkatan harga barang makanan ketika ini.
“Insya-Allah jika dengan izin-Nya program bantuan untuk rakyat sepanjang PKP 2.0 akan saya teruskan dari masa ke masa bagi meringankan sedikit beban kepada warga saya di Putrajaya walaupun pelbagai kekangan yang terpaksa dihadapi.”
Dalam masa yang sama, Tengku Adnan turut merakamkan penghargaan kepada anggota jentera dan orang ramai yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan bantuan tersebut.
“Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang membantu memudahkan urusan.
“Ayuh, sama-sama kita putuskan rantaian penularan Covid-19 dengan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh pihak KKM dan pihak berwajib.
“Marilah kita sama-sama menadah tangan memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar kita, keluarga kita, negara kita dan seluruh rakyat dilindungi oleh-Nya,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.