Selamat Hari Wilayah Persekutuan, Raikan Dalam Norma Baharu Atas Tekad Perangi COVID-19
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak warga tempatan untuk sama-sama meraikan kedatangan Hari Wilayah Persekutuan, 1 Februari dengan penuh kesyukuran.
Katanya, walaupun suasana pada tahun ini amat berbeza lantaran norma baharu yang perlu dipatuhi selain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan pergerakan, namun ia bukanlah alasan bagi komuniti Putrajaya menzahirkan semangat patriotik.
“Alhamdulillah. Kita dapat lagi meraikan Hari Wilayah Persekutuan walaupun berada dalam suasana yang cukup terbatas, namun sebagai pemimpin tempatan di sini, saya berbangga kerana kita telah menzahirkan semangat rasa cinta kita terhadap Wilayah Persekutuan melalui kemeriahan kibaran bendera di sini,” katanya.
Ujarnya, sebagaimana tema Hari Wilayah Persekutuan iaitu ‘Wilayah Prihatin’, Parlimen Putrajaya turut prihatin terhadap kebajikan serta kesejahteraan warganya khususnya dalam situasi berdepan COVID-19.
“Dalam kesinambungan meneruskan kehidupan, kita cakna terhadap keperluan rakyat dalam memastikan kesejahteraan tanpa mengenepikan permuafakatan untuk perpaduan yang menjadi kunci kepada kelestarian masyarakat di kalangan warga Wilayah Persekutuan.
“Walaupun keadaan ekonomi masih tidak menentu, Parlimen Putrajaya akan dipastikan untuk tidak tercalar atau terpalit dengan situasi semasa walaupun tidak dinafikan ada diantara rakyat di sini yang benar-benar susah, namun insyaAllah, usaha bagi memastikan bantuan disalurkan akan sentiasa dilaksana,” katanya.
Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut menggesa warga tempatan untuk terus istiqamah melaksanakan kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar Putrajaya dapat kembali menjadi zon hijau.
“Marilah kita jadikan setiap musibah yang melanda ini sebagai satu pengajaran yang amat bermakna untuk kita bermuhasabah lantas memperbaiki diri dan sama-sama memperkukuh silaturrahim agar kebersamaan untuk ke gunung sama di daki, ke lurah sama dituruni diaplikasi,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sempena perutusan selaku Ahli Parlimen Putrajaya bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan. – UMNOPutrajaya