Ketua Kampung Salur Bantuan Makanan Mentah Paru dan Limpa
PUTRAJAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sehingga 18 Feb ini memberi impak yang pelbagai termasuklah kenaikan harga barangan di pasaran dan tekanan ekonomi dirasai rakyat akibat penularan pandemik COVID-19.
Sejak dari awal penularan wabak tersebut, sememangnya Ahli Parlimennya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor cakna akan keperluan rakyat yang terhimpit dalam situasi semasa.
Lantaran itu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya yang menjadi pemudahcara dan jentera hadapan bagi menyalurkan sumbangan dari Datuk Seri Tengku Adnan kepada warga Putrajaya sentiasa siap sedia turun padang.
Terbukti, gerak kerja yang dilaksanakan oleh Pemuda UMNO Putrajaya dengan diketuai oleh Dr Tengku Iqbal Munawwir bukan untuk menyinsing lengan dan mengerah keringat secara bermusim. Juga bukanlah sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’ sebaliknya usaha terbabit semakin rancak dan berterusan dari semasa ke semasa sebagai khidmat untuk rakyat.
Jika sebelum ini komuniti Putrajaya telah merasai bantuan barangan dapur yang pelbagai termasuklah barangan kering dan mentah seperti ayam beku dan ikan kembung, kali ini Tengku Adnan yang lebih mesra dengan panggilan ‘ketua kampung’ memberikan paru dan limpa.
Bantuan ini dilaksana secara bersasar kepada pengundi-pengundi muda di sekitar Parlimen Putrajaya melalui Ketua-ketua Pemuda UMNO Cawangan untuk diserahkan kepada penerima.
Semoga bantuan yang disampaikan akan dapat membantu meringankan beban rakyat dan sama-samalah kita berdoa agar Putrajaya kembali sifar COVID-19 dan Malaysia kekal sejahtera. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.