Berita

Mahkamah Tolak Afidavit Berhubung Dakwaan UMNO Miliki Akaun Rahsia

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Mahkamah Tinggi menolak afidavit yang difailkan oleh pihak pendakwaan yang mengatakan bahawa UMNO mempunyai akaun yang tidak didedahkan, khusus bagi menerima sumbangan politik dalam saman pelucuthakan yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia selepas Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan oleh peguam utama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan peguam UMNO Datuk Hariharan Tara Singh bagi mengetepikan afidavit itu.

Hakim Muhammad Jamil dalam keputusan ringkasnya berkata afidavit itu difail semasa di peringkat hujahan dan akan mengakibatkan prejudis kepada tuntutan pihak ketiga, yakni Najib dan UMNO.

“Ia difail selepas semua afidavit lain difailkan dan tanpa penangguhan oleh mahkamah.

“Sehubungan itu saya menetapkan bahawa afidavit itu tidak boleh digunakan dan saya tidak akan menganggap afidavit itu sebagai sokongan. Tan Sri Shafee boleh meneruskan hujahan,” kata hakim itu pada sesi pendengaran oleh kerajaan bagi memohon pelucuthakan RM114,164,393.44 dan barang kemas yang dirampas daripada premis yang dimiliki olah Obyu Holdings Sdn Bhd.

Afidavit berkenaan adalah penting bagi saman pelucuthakan berkaitan 1MDB yang dibawa oleh pihak pendakwaan terhadap Obyu Holdings.

Pada 10 Feb lepas pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berpendapat bahawa UMNO mempunyai akaun rahsia yang tidak diaudit bagi menerima sumbangan politik, yang dianggapnya sebagai satu kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1996.

Dalam hujahan bertulis saman berkenaan, pihak itu mendakwa ini kerana beberapa pemimpin UMNO sendiri menafikan mereka tahu mengenainya.

Obyu Holdings dimiliki oleh Tan Sri Bustari Yusof, yakni adik lelaki Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, yang mempunyai hubungan rapat dengn Najib.

Pihak pendakwaan menfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Wang dan barang kemas itu dirampas oleh pihak berkuasa kerana didakwa terlibat dengan skandal dana 1MDB.

Pada 3 Sept 2019, Najib adalah antara yang memohon untuk menjadi pihak ketiga bagi menuntut aset dan wang yang disita oleh pihak berkuasa dari Pavilion Residence di Kuala Lumpur pada 2018, yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB

Pihak-pihak lain termasuk isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, UMNO, dan firma barangan kemas Global Royalty Trading SAL.

Penghujahan di hadapan hakim Muhammad Jamil bersambung Isnin. – BERNAMA