Usah Ditangguh Hak Undi18 Anak Muda, Hormati Ketetapan Parlimen
1. Keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara otomatik sehingga 1 September 2022 seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah amat mengejutkan dan mengecewakan.
2. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berpendapat bahawa keputusan SPR ini seolah-olah tidak menghormati Parlimen sebagai badan legislatif tertinggi negara yang telah bersepakat melebihi 2/3 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 pada Julai 2019 yang lalu.
3. Hakikatnya, Pindaan pada Fasal (1) dan Fasal (4) Perkara 119 serta perenggan (b) Perkara 47 dan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan ini adalah komitmen politik yang bersejarah merentasi parti dan bakal memberdayakan (empowerment) lebih 7.8 juta pengundi baharu ke dalam sistem pilihanraya sekaligus menentukan kepimpinan, hala tuju masa negara
4. Hakikatnya, kemajuan pantas teknologi komunikasi dan informasi merentas sempadan telah membawa kepada realiti baharu politik semasa dan anak-anak muda kita kini mula cakna akan kekuatan pengaruh mereka serta berani bersuara menyatakan pendapat.
5. Sebab itulah keputusan menangguh Undi 18 oleh SPR dan Kerajaan boleh ditanggapi sebagai suatu tindakan yang menafikan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan untuk anak muda.
6. Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar Kerajaan mengotakan janji bagi memenuhi komitmen garis masa perlaksanaan Undi 18 pada Julai 2021.
7. Bagi tujuan merealisasikan hasrat ini Kerajaan harus menyediakan segala kemudahan yang diperlukan termasuk sumber-sumber yang mencukupi dari segi kewangan, koordinasi merentas agensi dan menambah tenaga kerja.
8. Amat tidak wajar untuk berselindung di sebalik alasan Covid-19 setiap kali Kerajaan gagal atau tidak dapat memenuhi tuntutan demokrasi dan kehendak rakyat termasuk yang terbaru perlaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara otomatik.
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
26 Mac 2021