Berita

PRU15: UMNO Sedia Tunggu, Faham Negara Berhadapan COVID

KUALA LUMPUR, 27 Mac – UMNO memahami negara masih mendepani pandemik COVID-19, justeru ia bersedia menunggu tarikh yang sesuai untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Namun katanya UMNO juga tidak mempunyai masalah jika PRU itu diadakan dalam masa terdekat memandangkan masyarakat sudah dilatih untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19.

“Untuk mendapatkan mandat rakyat dalam keadaan pandemik yang masih tinggi kesnya, saya rasa itu tidak sesuai. Maka kita akan tunggu seperti mana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bahawa apabila reda sahaja iaitu graf COVID mendatar, maka kerajaan mengadakan pilihan raya umum.

“Bila? Kita tak tahu, sebab pandemik ini nampaknya masih kekal 1,300, sekejap 1,500 dan itu tinggi tetapi kalau kita boleh adakan, why not, sebab kita dah faham dan telah dilatih menjaga penjarakan fizikal dan mengetahui wabak COVID-19 amat berbahaya kepada manusia,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan serentak persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini yang dihadiri kira-kira 700 perwakilan dan diadakan secara hibrid.

Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata BN yang dianggotai UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) akan bertanding di bawah logo gabungan tersebut pada PRU15.

“BN, apa juga kerjasama (politiknya), akan tetap terus bertanding di bawah tiket BN… maknanya kita akan bertanding di atas asas BN,” katanya.
Beliau yang ditanya sama ada terdapat rundingan di antara UMNO dan parti lain berlandaskan Melayu dan Islam selain PKR bagi menghadapi pilihan raya, turut menyifatkan maklumat itu sebagai khabar angin.

“Kalau tanya saya, saya tak tahu kerana saya tak terlibat dalam apa-apa rundingan, maka bagi parti itu adalah satu khabar angin kerana khabar angin politik ini macam-macam. Ini bukannya keputusan parti. Apa juga political correctness yang kita nak buat, kita akan kembalikan kepada ahli dan parti akan buat keputusan.

“Tiada sesiapa atau mana-mana individu atau kelompok yang boleh menggesa kita bekerjasama dengan sesiapa kerana partilah yang akan membuat keputusan,” katanya.

Beliau juga berkata UMNO akan bertanding minimum 96 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding di kerusi Parlimen pada PRU15, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau, Negeri Sembilan berkata: “Saya boleh bertanding di mana-mana, dari Perlis hingga ke Johor.” – BERNAMA