UMNO Bahagian Putrajaya Tetap Teguh Bersemangat Biarpun Secara Maya
KUALA LUMPUR, 28 Mac – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang berlangsung secara maya dengan dipancarkan menggunakan sistem Webex dari pusat persidangan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ke 190 bahagian di seluruh negara berlangsung lancar.
Biarpun secara virtual namun ahli-ahli UMNO yang hadir ke bahagian-bahagian sebagai perwakilan tetap menunjukkan semangat sebagaimana kebiasaan menghadiri persidangan di tengah-tengah Ibu Kota, iaitu berbaju kebangsaan warna merah yang sebati dengan UMNO.
Bagi perwakilan UMNO Bahagian Putrajaya, pejabat parti di Presint 15 menjadi lokasi berkumpul untuk mengikuti sesi penuh PAU 2020 yang bermula dengan upacara menaikkan bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ sebagai tanda perasmian, kemudian diikuti acara dalam Dewan Merdeka.
PAU 2020 dilaksana dalam norma baharu ekoran negara masih tertakluk dengan sekatan sebagai langkah menangani penularan wabak COVID-19. Lokasi persidangan di WTCKL juga masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB yang mewajibkan para perwakilan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang majlis berlangsung antaranya seperti pemakaian pelitup separuh muka dan penjarakan fizikal.
Dalam masa yang sama, PAU 2020 dipantau ketat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
You must be logged in to post a comment.