Rencana

UMNO 75 Tahun: Tengku Adnan Dalam Ranjau Perjalanan Demi Agama Bangsa Tanah Air

UMNO genap berusia 75 tahun 11 Mei 2021, meniti usia Jubli Intan dalam keadaan penuh perit dengan laluan berliku setelah hilang kuasa pada 9 Mei 2018. Benar, setiap musim berlalu pasti ada sahaja cabarannya dalam ruang krisis untuk melengkapi satu putaran ibarat roda iaitu antara susah dan senang, gembira bersulam derita, suka dan duka menjadi pelengkap dalam titian UMNO sebagai sebuah parti politik.

UMNO diasas bertunjangkan perjuangan demi memartabatkan agama, bangsa dan negara untuk terus berdaulat. Dalam laluannya tentunya para pemimpinnya lebih terduga iaitu perlunya lebih berbesar hati dengan jiwa kental bagi mengetuai kepimpinan dalam memastikan perjuangan parti terus bersemarak.

Dalam hal ini, Tengku Adnan Tengku Mansor adalah sosok paling sesuai untuk menjadi analogi lantaran onak duri yang dilaluinya. Sedari usia mudanya, beliau tidak pernah bermimpi untuk menjadi ahli politik apatah lagi wakil rakyat selain daripada hasratnya untuk menjadi usahawan berjaya.

Lebih dari itu, kini beliau ditekan dan diheret dalam tuduhan rasuah yang tidak masuk akal, turun naik mahkamah sejak lebih setahun lalu sedangkan jika atas kepentingan diri dan peribadi, beliau boleh memilih untuk menyertai pihak lawan yang pastinya telah dijanjikan jawatan menteri atau setidaknya bebas dari apa-apa pendakwaan terpilih pihak lawan.

Pilihan lain, dengan jutaan wang ringgit yang beliau miliki tentunya beliau boleh sahaja melepaskan diri sama ada berhijrah ke luar negara meninggalkan anak bangsanya dengan bersenang-lenang sewenangnya – namun itu bukanlah peribadi Tengku Adnan!

Tidak semudah itu, Tengku Adnan kekal istiqamah atas janji dan sumpah setia seorang wakil rakyat yang mewakili pengundinya atas tiket UMNO dan Barisan Nasional, malah beliau terus tekad atas nama Allah SWT untuk berjuang dengan yakin demi agama, bangsa dan negara.

Pelbagai tekanan diberikan kepada beliau, nama terpalit dan saban hari laporan berita jelik membicarakan kebobrokan yang hilang tanpa keadilan. Dalam pada keadaan ini pun, Tengku Adnan tetap memikirkan para komuniti Putrajaya lantaran beliau menjadi wakil rakyat mereka apatah lagi sejak BN tidak berkuasa, rakyat pula terpalit keperitan tak terjangka.

Ketika kepimpinan BN berkuasa, saban hari pasti ada sahaja komuniti dirai sehinggakan ulang tahun kelahiran beramai-ramai warga Putrajaya dibuat saban bulan, kiriman kad ucapan, pemberian hadiah dan keraian besar-besaran dengan anggapannya warga Putrajaya adalah keluarga besar beliau.

Keprihatinan Tengku Adnan melangkau batas politik, melewati garis bangsa dan perbezaan agama dengan batuan dihulur kepada rakyat semua peringkat biarpun beliau sedar adakalanya sandiwara dan lakonan segelintir pihak yang menjadikan beliau bahan beroleh imbuhan.

Sememangnya Tengku Adnan sedar sikap segelintir pihak dalam UMNO yang gemar bermuka-muka, menjadikan parti sebagai sandaran untuk mendapat kesenangan lantas apabila UMNO terduga tanpa kuasa, ramai juga yang berpaling muka… tetapi tak kurang pula yang mula menyesali sikap negatif dan berpura-pura apabila kini kerajaan yang ada tidak lebih hanya pada nama. Mereka akui bahawa hanya UMNO yang boleh menjaga bangsa.

Sungguh, sebenarnya Tengku Adnan arif bahawa ada segelintir pihak terus menerus menjadi talam dua muka dalam perjuangan tanpa jujur sama ada kepada UMNO dan pihak lawan, namun bukanlah sikap Tengku Adnan yang mahu memutuskannya, sebaliknya beliau percaya Allah SWT lebih berkuasa dan pastinya mereka yang tersasar akan tersedar.

Jika dakwaan rasuah yang bernilai dua juta menjadi taruhan Tengku Adnan hinggakan nama terpalit dan harga diri diperkecil, maka apalah sangat nilai terbabit sedangkan beliau memiliki ratusan juta yang lain. Perjuangan beliau bukanlah atas nama wang ringgit selain keyakinan terhadap kebenaran untuk mengatasi kebatilan.

Wang bukanlah segalanya kepada Tengku Adnan. Terdahulu beliau adalah antara konglomerat antarabangsa yang berjaya membawa nama negara dalam dunia perniagaan melangkau pelbagai bidang malah namanya pernah tersenarai antara individu terkaya di Malaysia sehingga berita mengenainya dilaporkan oleh majalah perniagaan Forbes.

Takdir Ilahi membawa Tengku Adnan terjun ke dunia politik apabila Tun Dr Mahathir mohon pertolongannya atas nama agama Islam dan bangsa Melayu dengan UMNO menjadi platformnya. Semuanya bermula pada tahun 1987 apabila Tengku Adnan menjadi Bendahari Pemuda UMNO pertama selepas kelahiran semula ekoran pengharaman iaitu selepas UMNO Baru ditubuhkan.

Niat demi agama, bangsa dan negara terpatri kukuh hinggakan pertolongan yang dijanjikan kepada Tun Dr Mahathir hanya seketika akhirnya menjadikan beliau terus berkecimpung dalam arena politik.

Jika insan lain ada yang mendambakan pulangan atau menyertai UMNO yang ketika itu berkuasa sebagai tonggak kerajaan sebagai batu loncatan maka berlainan pula dengan Tengku Adnan yang menjadikan kekayaannya sebagai pengikat untuk beliau menyalurkan bakti kepada rakyat melalui UMNO.

Tengku Adnan menjadi Ketua Bahagian Seputeh yang sebelum ini adalah bahagian yang hanya dipenuhi para setinggan Melayu di tengah Ibu Kota namun kemudiannya bertukar menjadi ‘hutan batu’ dengan Seputeh berubah wajah. Kemudian, selepas persempadanan semula pada 2003, beliau menjadi Ketua UMNO Bahagian Putrajaya.

Dalam parti beliau dipilih menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada tahun 1993 tetapi gagal mempertahankannya pada tahun 1996, sementara dalam kabinet pula, beliau dilantik menjadi Menteri Pelancongan pada 2006 tetapi tersingkir dari apa-apa jawatan kabinet pada 2008.

Dalam hal ini, tidak pula Tengku Adnan melatah atau menyerang mana-mana pucuk pimpinan parti biarpun tidak terpilih menyertai kabinet. Khidmat bakti kepada rakyat tetap diteruskan atas tekad ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’. Malah hingga kini pun, Tengku Adnan terus cakna terhadap warga Putrajaya dengan mengeluarkan belanja sendiri bagi menampung bantuan yang disalurkan secara berterusan kepada rakyat pelbagai peringkat.

Tidak… Tengku Adnan tidak meminta balasan wang ringgit atau harta benda namun sebagai insani apalah sangat kiranya warga Putrajaya memanjatkan doa kepada beliau untuk terus tabah dan cekal berdepan dugaan dengan kesejahteraan beliau sekeluarga. Atau jika tidak pun, belajarlah menghargai apa yang dimiliki, mengucap syukur dan saling berterima kasih… bukankah itu adalah nilai manusiawi yang dituntut Ilahi… Wallahuahlam!