Rencana

Kerana Rakyat… ‘Total Lockdown’ Demi Masa Hadapan Lebih Baik…

TARIKH 1-14 Jun telah diumumkan untuk pelaksanaan ‘total lockdown’ sebagai usaha bagi melandaikan kembali graf peningkatan jangkitan COVID-19 lantaran sejak beberapa hari ini angkanya amat menakutkan.

Sungguh, apabila bilangannya bukan lagi 1, 2… 10… 100 atau 1,000 tapi sudah menghampiri angka 10,000, maka ia amat menakutkan.

Angka kematian juga begitu, semakin menikam dada lantaran bilangannnya sehari menghampir 100 kes.

Dengan pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara ini, hanya 17 sektor perkhidmatan dibenarkan beroperasi…maka tentunya harapan untuk angka COVID-19 berkurangan amat tinggi.

Dalam hal ini, tolak tepi isu politik; fikirkanlah dengan akal waras dan kematangan memberi pertimbangan untuk satu keputusan yang wajar demi kepentingan rakyat dalam kelangsungan sebuah negara yang sejahtera.

Persoalannya, apa yang rakyat mahukan selain kesejahteraan dengan jaminan keselamatan dan tiada ancaman ketakutan termasuklah daripada pandemik wabak COVID-19 ini.

Sebagai rakyat, tentunya pemimpin adalah tunjang utama yang menjadi sandaran untuk keluar dari pelbagai keperitan dan kesempitan melibatkan ekonomi.

Inilah akibat langsung yang dirasai ekoran penularan COVID-19 iaitu kesan nyata kepada seluruh lapisan masyarakat yang tentunya membabitkan rangkaian putaran dalam semua aktiviti harian.

Ibaratnya, dari anak kecil yang menyusu dan menggunakan lampin pakai buang, anak-anak yang bersekolah dan menuntut di institusi pengajian tinggi dengan pelbagai bayaran dan perbelanjaan harian hinggalah kepada suri rumah yang menyelia perbelanjaan dapur dan juga kepada suami yang bekerja di sektor awam atau swasta akan terkesan.

Proses jual beli semakin berkurang ekoran pengguna menghadkan berbelanja lantaran kekurangan wang apabila ada ketua isi rumah yang dipotong pendapatannya malah lebih teruk apabila diberhentikan kerja.

Jika sebelum ini ada peniaga yang gulung tikar apabila beban kos melampaui pendapatan, malah lebih teruk apabila hal ekonomi ini memberi kesan kepada psikologi bukan hanya diri sendiri tetapi dalam keluarga juga, maka tentunya total lockdown ini akan memberi kesan yang lebih besar juga.

Lantaran itulah, rakyat amat mengharapkan bantuan… dan orang terdekat adalah wakil rakyat sebagaimana di Putrajaya, Ahli Parlimennya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjadi sandaran.

Sungguh, warga Putrajaya ramai menzahirkan rasa syukur kerana wakil rakyat mereka bersifat dermawan sekalipun telah dibelenggu pelbagai tuduhan bersifat politik, namun usaha bagi membantu rakyat tidak pernah Tengku Adnan hentikan.

Biarpun sewajarnya kerajaan Pusat yang mengambil tanggungjawab atau menghulunrkan bantuan untuk memberikan ‘sesuatu’ yang bukan hanya bersifat jangka pendek tetapi ‘sesuatu’ yang dapat memberikan nafas baharu kepada kelangsungan kehidupan, namun Tengku Adnan tidak bersifat lepas tangan.

Sememangnya diakui, sejak penularan COVID-19 Mac lalu di negara ini, Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya banyak membantu meringankan beban komuniti yang terjejas khususnya dalam agihan barangan makanan termasuklah kepada mereka yang terjejas COVID-19, golongan asnaf serta mereka yang memerlukan.

Apa yang pasti, warga Putrajaya lebih mengenali Tengku Adnan bukan hanya sebagai wakil rakyat tetapi juga sebagai keluarga yang sering menghulurkan tangan memberikan bantuan dan meringankan beban.

Justeru… Ayuhlah bersama patuhi SOP dan pastikan keselamatan menjadi keutamaan sebagaimana hasrat Tengku Adnan untuk melihat Putrajaya kembali menjadi zon hijau dan sifar COVID-19. – UMNOPutrajaya