Berita

‘Total Lockdown’ Atau ‘Semi Lockdown’… Kategori ‘Essential’ Makin Bertambah? – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Jun – “Mula-mula cuma 95,142 dianggap ‘essential’. Tidak lama kemudian naik kepada 128,150 ‘essential’. Esok lusa tidak tahu pula berapa banyak lagi bisnes akan dikategorikan sebagai ‘essential’.”

Demikian luah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan keputusan kerajaan dalam kebenaran pengoperasian sektor perniagaan yang dianggap sebagai perkhidmatan penting.

Soal beliau, mungkinkah jumlah itu termasuk yang menipu supaya dikategorikan ‘essential’?

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) merujuk hal terbabit kepada laporan kilang pembuatan topi keledar yang mengaku kilang membuat PPE hinggakan MITI boleh terpedaya ‘essential’.

“Itu belum termasuk yang bukan ‘essential’ mungkin sedang beroperasi secara sembunyi-sembunyi. Mohon pihak berwajib pantau habis-habisan.

“Ada rungutan di media sosial tentang kilang tidak ‘essential’ masih beroperasi.

“Siasat dan bertindak segera tangani semua isu ini. Tempoh 14 hari bukan panjang. Kita perlu menang,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Tegasnya, rakyat semakin senak, sesak dan semput untuk terus hidup dalam keadaan kes COVID-19 yang tinggi.

“Sebab itu sebelum ini rakyat mendesak pelaksanaan ‘total lockdown’ yang benar-benar ‘total lockdown’. Bukan ‘total lockdown’ bertaraf ‘semi lockdown’ yang akhirnya rakyat berisiko di ‘smackdown’.”

Namun katanya, untuk 100 peratus menyalahkan pemilik perniagaan atau kilang-kilang pun kurang wajar juga kerana mereka tidak mendapat sokongan secukupnya untuk membolehkan operasi henti sementara tanpa risiko ‘bankruptcy’.

“Jika perniagaan mereka bungkus, yang teraniaya pekerja-pekerja juga. Dari peringkat atas sehinggalah di bawah.
“Begitu juga dengan rakyat marhaen. Terutama mereka yang bekerja sendiri, berpendapatan harian atau komisyen dan peniaga kecil. Ada yang dipotong gaji oleh majikan.

“Mereka kurang bantuan yang sewajarnya supaya dapat duduk tenang di rumah sepanjang ‘semi lockdown’. Jika ada moratorium inklusif, pengurangan ansuran bukan ‘refinance’ dan i-Sinar 2.0 pasti mereka mampu ‘self lockdown’ tanpa
perlu pun ‘total lockdown’,” katanya lagi.

Sebelum itu Ahmad Zahid turut merujuk kepada titah Sultan Johor iaitu, “biar kita telan ubat yang pahit sekarang daripada menanggung sakit melarat dan berterusan.” – UMNO Online