Berita

Senator Dewan Negara: UMNO Putrajaya Rakam Terima Kasih Kepada PM

PUTRAJAYA – UMNO Bahagian Putrajaya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri atas kepercayaan melantik Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya sebagai Senator Dewan Negara.

Ketuanya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk pelantikan tersebut amat besar maknanya bagi UMNO Bahagian Putrajaya.

“Kami yakin, insya-Allah, Datuk Hisamudin akan terus kekal komited dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan demi membawa suara rakyat di Dewan Negara.

“Ia termasuk menjunjung kedaulatan undang-undang demi kesejahteraan masyarakat serta negara di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri yang juga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya, di sini hari ini.

Terdahulu, Isnin lalu, Datuk Hisamudin telah mengangkat sumpah sebagai Senator berkuat kuasa hingga 3 Okt 2023. – UMNOPutrajaya