Berita

UMNO Putrajaya Digesa Terus Mantapkan Parti, Bersedia Undi 18 Tahun

PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa anggota parti agar sentiasa bersiap sedia dengan apa-apa cabaran bagi mendepani masa hadapan termasuk menyambut kehadiran golongan muda khususnya berkaitan Undi 18 iaitu meletakkan kebersamaan ke arah melaksanakan undi 18 tahun.

Kata Tengku Adnan yang juga lebih mesra dengan panggilan ‘ketua kampung’, ahli-ahli UMNO perlu sentiasa peka dan prihatin, untuk memberi kesedaran berterusan kepada orang muda mengenai hak mengundi.

“Antara inisiatif yang mesti dilaksanakan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak berusia 18 tahun ke atas ialah memaklumkan kepada mereka berkaitan pentingnya penglibatan dalam memilih atau mengundi kerana masa hadapan negara adalah berada di tangan mereka.

“Pengisian utama dalam aspek memberi kesedaran kepada belia ini ialah untuk memastikan mereka juga menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berikutan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, selain meningkatkan pengetahuan literasi politik dan pentingnya memahami perjuangan sebenar,” katanya.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya, di sini hari ini.

Maklum beliau, mengikut data yang ada, golongan pengundi baharu iaitu melibatkan 18 tahun ke atas adalah seramai lebih 8,000 orang.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar aktiviti belia yang melibatkan golongan remaja digerakkan secara aktif agar golongan terbabit terus bersama dalam melakar masa depan negara.

“Sebelum ini kita pernah ada progam-program remaja dan sukarelawan maka saya berharap agar program sedemikian terus digerakkan.”

Ujarnya, hal ini penting untuk meningkatkan pengetahuan generasi muda bagi mentransformasikan nilai-nilai demokrasi, pengetahuan am dan kenegaraan, selain meningkatkan jati diri serta semangat kenegaraan dalam diri. – UMNOPutrajaya