Berita

Senator Tok Yeop Suarakan Miskin Bandar… Ketengah Isu Domestik Putrajaya Dalam Dewan Negara

PUTRAJAYA – Suara lantang berkaitan kepentingan dan pembelaan warga Putrajaya yang dianggap sebagai antara kawasan termaju dalam negara amat penting sebagaimana direalitikan Senator Dewan Negara, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya selaku Ketua Penerangan UMNO Putrajaya.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Tok Yeop di kalangan penduduk setempat telah mengotakan janji dan amanah yang terpikul demi agama, bangsa dan negara dengan membawa isu miskin bandar termasuklah isu domestik di Putrajaya.

Katanya, kesan penutupan ekonomi akibat pandemik COVID-19 telah memberi kesan lebih besar kepada masyarakat bandar apabila mereka bukan saja berdepan dengan masalah pendapatan dan simpanan, malah turut hilang kemampuan untuk membeli keperluan asas.

“Di kesempatan ini, saya ingin menyatakan bahawa wang Bantuan Khas COVID-19 adalah sehingga RM1300, jauh lebih rendah berbanding dengan pendapatan garis kemiskinan purata negara berjumlah RM2,208 sebulan. Saya memohon perhatian agar YAB Perdana Menteri dapat mempertimbangkan agar jumlah bantuan ini dapat ditambah dalam membantu warga miskin bandar pasca pandemik ini.

“Perkara kedua, kerajaan perlu memperkenalkan semula pengecualian sewa PPR selama 6 bulan di kawasan bandar. Dengan kehilangan sumber pendapatan dan wang simpanan yang berkurangan, setiap ringgit amat penting untuk golongan miskin bandar supaya mereka mampu membeli keperluan asas seperti makanan,” katanya pada sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Negara, semalam.

Beliau juga telah mengetengahkan isu setempat berkaitan dengan rumah di bawah kelolaan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) di Putrajaya yang kini menjadi antara perkara berbangkit bagi penduduk Putrajaya.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak BPH telah mengeluarkan satu notis pelanggaran peraturan menduduki kuarters kerajaan. Hampir 90 peratus rumah kuarters di Kawasan KRT Kenari, telah menerima notis tersebut. Malah, ada yang diminta keluar dari rumah mereka ketika pandemik ini. Berita sedemikian amat menyedihkan, malah bertentangan dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Saya berpendapat bahawa tindakan sampai dihalau keluar dari kuarters adalah tidak bertimbang rasa semasa pandemik Covid-19 ini. Lebih-lebih lagi, mereka adalah penjawat awam. Pada hemat saya, semasa pemeriksaan dan penilaian dilakukan, sewajarnya Majlis Penduduk dilibatkan bersama agar semua pihak berpuas hati.

Sehubungan itu beliau menyarankan pihak BPH untuk mengkaji semula sistem demerit yang diwujudkan, agar lebih relevan selaras dengan situasi semasa selain perlunya pihak BPH mengadakan sesi taklimat tentang pelaksanaan demerit kepada penghuni kuarters bagi menerangkan maksud secara jelas dan terperinci.

“Saya juga berharap pihak BPH dapat meletakkan pegawai penyelia mengikut zon di Putrajaya bagi memudahkan komunikasi di antara penduduk dan wakil BPH.”

Terdahulu beliau turut mengulas berkaitan pelancongan di Putrajaya yang diibaratkan sebagai ‘bunga kembang tak jadi’.

“Seperti yang sedia maklum, cadangan menjadikan Putrajaya sebagai bandar bebas kenderaan masih gagal dilaksanakan. Oleh itu, saya ingin menarik perhatian semua, adakah kerajaan akan meneruskan pembinaan monorel di dalam Kawasan Putrajaya, supaya pengunjung yang menaiki MRT, lebih mudah bergerak di dalam Putrajaya dengan menggunakan monorel? Jika tidak, Putrajaya akan terus dibanjiri dengan kenderaan, akibat tiada sistem pengangkutan awam yang efisien.

“Tambahan pula, stesen-stesen monorel sebenarnya sudah sedia ada di bangunan-bangunan utama kerajaan.

“Putrajaya mampu menjadi Pusat Pentadbiran Kerajaan yang setaraf dengan negara maju seperti Washington di Amerika Syarikat. Asalkan projek-projek yang sudah dirancang dapat diteruskan. Janganlah ia sekadar menjadi projek gajah-putih,” tegasnya. – UMNOPutrajaya