PRN Melaka: BN Menang, Kembali Bentuk Kerajaan Negeri
MELAKA, 20 Nov – Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan cemerlang dan bergaya dengan memperoleh dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini, sekali gus menerima mandat untuk kembali mentadbir kerajaan negeri.
Keputusan PRN itu menyaksikan gabungan UMNO, MCA dan MIC memperoleh 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Calon-calon dari Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) yang bertanding lima kerusi, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) yang tampil buat pertama kali dengan bertanding satu kerusi serta 22 calon Bebas tidak memenangi sebarang kerusi.
Kali terakhir BN memperoleh majoriti dua pertiga di Melaka ialah pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 apabila memenangi 23 kerusi.
Keempat-empat Ahli Dewan Undangan Negeri, yang menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Mohd Ali sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri, juga gagal memenangi kerusi yang ditandingi mereka. – BERNAMA