Berita

Ahli Politik Perlu Fokus Jaga Kepentingan Rakyat – Titah Yang Di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Ahli politik di negara ini perlu fokus kepada usaha menjaga kepentingan rakyat, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menyelitkan ingatan itu dalam dua rangkap pantun pada akhir titah Seri Paduka semasa merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, hari ini Al-Sultan Abdullah bertitah kerja yang susah akan menjadi senang jika semua bersatu hati.

“Gunung Kinabalu sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang,
Jikalau semua bersatu hati,
Kerja yang susah menjadi senang.

Busana tradisi kain bersulam,
Warnanya jingga berawan larat,
Cukuplah berpolitik siang dan malam,
Fokuskan menjaga kepentingan rakyat,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah bagi menghadapi 2022, semua pihak diseru mengukuhkan strategi dan ketahanan dalam mendepani cabaran COVID-19 dengan pemulihan ekonomi negara perlu disegerakan agar Malaysia tidak ketinggalan.

“Bantu dan mudahkan segala urusan rakyat untuk membina semula kehidupan mereka dengan rasa selamat, aman dan makmur demi negara kita yang tercinta,” titah Seri Padua.

Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kesyukuran kerana landskap politik negara kini lebih stabil bagi menjayakan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.

“Beta amat bersyukur dengan kestabilan politik yang dikecapi kini menerusi kerjasama dwipartisan iaitu melalui memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politik yang telah ditandatangani antara pihak kerajaan dan pembangkang,” titah Al-Sultan Abdullah merujuk kepada memorandum yang ditandatangani kedua-dua pihak pada September tahun lepas.

Seri Paduka bertitah hasil kesepakatan dan kematangan itu, pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 berjaya diluluskan dengan sokongan majoriti melebihi dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Disember lepas.

“Kematangan politik seperti itulah yang didambakan oleh rakyat beta,” titah Al-Sultan Abdullah sambil menyeru semua Ahli Parlimen supaya terus mengekalkan persefahaman yang terbina dan memelihara kestabilan politik yang telah tercapai itu.

Menyentuh mengenai bencana banjir teruk yang dialami negara pada akhir tahun lepas, Seri Paduka menzahirkan penghargaan atas tindakan pantas kerajaan membantu mangsa banjir menerusi penyaluran bantuan bernilai RM1.4 bilion secara terus kepada mereka yang terkesan selain peruntukan kewangan bagi pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam berjumlah RM6 bilion.

Mengenai kemakmuran negara, Seri Paduka bertitah perpaduan nasional harus terus menjadi agenda utama negara dalam memastikan kemakmuran negara kekal terpelihara.

“Usaha memupuk budaya toleransi dan hormat-menghormati hendak-lah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat beta.

“Justeru, beta menyambut baik Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang bersifat komprehensif,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menyeru masyarakat dididik mengenai bahaya aliran pemikiran dan fahaman yang mengelirukan masyarakat Islam dan usaha menormalisasikan budaya yang bercanggah dengan adat dan amalan agama negara ini.

Titah Seri Paduka fahaman dan aliran pemikiran itu perlu dikawal melalui tindakan berfokus dan strategik melibatkan semua pihak berkuasa agama, keselamatan serta pihak-pihak lain yang bertanggungjawab. – BERNAMA