Berita

PAU 2021 Dilaksana Bersemuka, 5,571 Perwakilan Bakal Hadir

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 tidak akan diadakan secara hibrid sepertimana dilaksanakan sebelum ini, namun ianya akan berjalan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepertimana yang digariskan oleh pihak berkaitan.

Menurut beliau SOP seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, penggunaan sanitasi dan MySejahtera antara yang akan menjadi keutamaan selain penjarakan tempat duduk perwakilan dengan hanya mereka yang telah lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan untuk masuk ke dalam dewan.

“Penggunaan ‘swab-test’ juga akan kita sediakan dan yang positif COVID-19 serta mereka yang bergejala termasuklah perwakilan dan pemerhati tidak akan dibenarkan hadir,” katanya.

Untuk tahun ini, Ahmad memaklumkan seramai 5,571 perwakilan akan terlibat pada PAU 2021 yang akan bermula pada 16 hingga 19 Mac dan untuk itu beberapa buah dewan akan digunapakai dalam usaha memastikan pematuhan SOP sepanjang berlangsungnya perhimpunan itu nanti.

“Perhimpunan Agung Wanita, Perhimpunan Pergerakan Pemuda dan Perhimpunan Pergerakan Puteri UMNO akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada hari Rabu, 16 Mac jam 8.00 malam dan dihadiri oleh 2,891 perwakilan. Mereka akan bersidang keesokannya.

“Pada 18 Mac, Perhimpunan Agung UMNO 2021 akan dimulai dengan acara menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ dan seterusnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan merasmikan serta menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka. Kita akan mengadakan satu majlis penyampaian anugerah kepada tokoh-tokoh UMNO negeri.

“Ini adalah kali pertama diadakan anugerah tokoh-tokoh UMNO negeri selepas ucapan dasar Presiden iaitu anugerah sayembara, cipta logo, video pendek, penulisan puisi sempena Jubli Intan UMNO yang ke 75 tahun. Itu adalah sedikit kelainan berbanding dengan PAU sebelum ini,” katanya lagi.

Kata beliau lagi, majlis perasmian pada pagi Jumaat akan turut dihadiri oleh jemputan-jemputan khas seperti ‘Friends Of BN’, parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC dan PBRS serta beberapa Duta, Pesuruhjaya Tinggi kedutaan asing.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021, di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Sumali Reduan; Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar; Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan dan Penolong Setiausaha Puteri UMNO, Azumma Beevi Mohamad Sali.

Ahmad seterusnya menambah Perhimpunan Agung UMNO 2021 akan disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial Facebook UMNO Online bermula 16 Mac.

Dalam pada itu kata Ahmad lagi Pergerakan Wanita UMNO akan mengadakan beberapa program bermula hari Rabu ini.

“Wanita UMNO akan mengadakan Forum Penerangan Wanita UMNO, Program Mesra Skuad Sayang, Bicara Wanita Kreatif, Bicara Wanita, Pameran Sekretariat Wanita Profesional Wanita UMNO, Sekretariat Undang-undang, Pemerkasaan Skuad Sayang.

“Sempena Nisfu Syaaban pada Jumaat, 18 Mac, Ibu Pejabat UMNO dan Pergerakan Wanita UMNO akan mengadakan majlis bacaan surah Yassin di Surau Ar-Rahman pada 7.30 malam. Semua pemerhati dan perwakilan adalah dijemput,” ujarnya.

Ahmad seterusnya memberitahu, jurucakap usul akan dipilih oleh Perhubungan UMNO negeri masing-masing manakala Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO ada tiga jurucakap termasuklah satu daripada Mahasiswa.

Dalam pada itu Ahmad Maslan memaklumkan lebih 500 petugas media yang terdiri daripada agensi media tempatan dan antarabangsa akan terlibat membuat liputan sepanjang PAU yang akan berakhir Sabtu ini.

“UMNO juga ada mengadakan gerai korporat agensi-agensi yang akan diadakan pada hari Khamis 17 Mac dan sebanyak 20 agensi kementerian akan menyertainya,” ujarnya lagi.

Kata Ahmad lagi, tentunya PAU kali ini penuh bermakna kerana membawa semangat kemenangan dan rasa penuh kesyukuran selepas mencatat kejayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. – UMNO Online