Berita

Menjelang Ramadan… Ketua Kampung Salur Bantuan Imarahkan Surau-surau Putrajaya

PUTRAJAYA – Ramadan bakal menjelma kurang dari seminggu lantas Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah menyampaikan sumbangan bagi memastikan surau-surau di Parlimen terbabit diimarahkan.

Sememangnya, hal tersebut adalah acara rutin yang acapkali dilaksana sejak Tengku Adnan menjadi wakil rakyat di Parlimen Putrajaya tanpa mengira sama ada UMNO/Barisan Nasional menjadi kerajaan atau sebaliknya.

Malah, ketika negara dilanda pandemic COVID-19 sehinggakan surau-surau tidak dapat diimarahkan, Tengku Adnan yang sentiasa cakna dengan rakyat tetap menyantuni qariah kawasan Putrajaya dengan menyalurkan agihan juadah buka puasa dan beberapa sumbangan lain.

Kali ini, serahan sumbangan Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya disalurkan kepada 70 buah surau di seluruh Parlimen terbabit dengan diwakili oleh Setiausaha Bahagiannya, Datuk Shokri Shafee.

Selain sumbangan barangan keperluan surau yang akan digunakan oleh para Jemaah, Tengku Adnan turut memberikan sumbangan wang tunai yang bakal dimanfaatkan untuk jamuan moreh kelak.

Semoga sumbangan yang diberikan akan dapat memberi faedah kepada para jemaah dan komuniti Putrajaya dapat melaksanakan ibadah puasa serta solat terawih dengan sempurna. – UMNOPutrajaya