Jangan Mudah Percaya … Laporan Polis Guna Nama Tengku Adnan Kutip Duit Dari Penjaja
KUALA LUMPUR, 8 April – Satu laporan polis telah dibuat bagi menafikan penglibatan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor terhadap tindakan seorang individu yang membuat satu kutipan duit terhadap penjaja-penjaja sekitar Kuala Lumpur menggunakan nama beliau.
Laporan polis yang dibuat oleh Pegawai Khas Tengku Adnan, Mohd Faizal Badarudin di Balai Polis Dang Wangi semalam memaklumkan penafian aktiviti mengutip duit dari penjaja malahan Tengku Adnan tidak mengenali individu terbabit atau ada arahan sedemikian.
Dilaporkan, individu ini menggunakan dokumen lama yang bertarikh 23 Julai 2014 untuk membuat kutipan terhadap penjaja-penjaja berjumlah RM50,000 menggunakan nama Tengku Adnan.
Dalam hal ini, Tengku Adnan menginagtkan agar semua pihak berwaspada dan tidak mudah memberikan kepercayaan kepada orang luar sebaliknya melakukan usul periksa terlebih dahulu agar tidak tertipu dengan pihak sedemikian.
Difahamkan Tengku Adnan mendapat makluman berkaitan aktiviti penipuan terbabit daripada pihak penjaja yang telah tertipu. – UMNOPutrajaya