Isu Semasa

PH Sendiri Keliru Apa Sebenarnya Dasar Mereka…

25 Jun – Minta Kerajaan selesaikan isu subsidi atau mereka akan turun ke jalan
27 Jun – Minta tambah subsidi
17 Julai (semalam) – Ulang janji bahawa “hari ini menang, esok minyak turun”. (Nak turun minyak macam mana kalau bukan subsidi kan?)

Selama berminggu-minggu berzikir soal subsidi.

Bila Kerajaan tunjukkan bahawa subsidi dan bantuan kewangan sebenarnya pada tahap paling tinggi dalam sejarah – tiba-tiba cakap “kenapa bergantung kepada subsidi?”

Tiba-tiba tukar tiang gol bertanya kenapa hanya ada subsidi dan menuduh Kerajaan tak laksana perubahan struktural untuk membantu kos sara hidup.

Tentang perubahan struktural, saya hendak tanya,

1) Perubahan struktural apa yang Pakatan Harapan hendak buat hari ini – (yang belum dimulakan oleh Kerajaan sedia ada atau Kerajaan pra 2018) – yang boleh selesaikan masalah kos sara hidup esok? Formula baharu apa yang hendak dijual ke rakyat?

2) Bagaimana hendak jadi juara perubahan struktural kalau GST pun dimansuhkan dan kebergantungan kepada sumber minyak dan gas ditingkatkan?

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ada beri contoh soal nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika sebagai satu perkara yang perlu perubahan struktural.

Apakah idea yang Pakatan Harapan hendak kemukakan untuk naikkan nilai Ringgit segera? Umum mengetahui USD memang sedang berdagang pada kadar tertinggi dalam 20 tahun. Matawang Yen pun jatuh 20% berbanding USD. Euro yang sebelum ini lebih “kuat” dari USD pun sudah setara dengan USD. Baht jatuh. Peso jatuh. Australian Dollars jatuh. Korea Won jatuh. Rupiah jatuh. Singapore dollars jatuh. Melainkan dua contoh terakhir, kejatuhan matawang mereka berbanding USD lebih banyak dari Malaysia.

PH patut jelaskan. Adakah perubahan struktural segera mereka untuk naikkan RM termasuk:
– menggesa BNM mengambil langkah yang sama seperti Bank Pusat lain dengan menaikkan kadar faedah lebih agresif setaraf dengan US Federal Reserve? Adakah PH berpandangan kenaikan OPR 0.5% setakat ini tak cukup dan terlalu lambat untuk mengejar US Fed dan Bank Pusat Lain? (US telah meningkatkan kadar faedah sebanyak 1.5% – dan dijangka bulan ini tambah agresif menjadi 2.5% – Filipina dah tingkatkan sebanyak 1.25%, Singapura naik sebanyak 1.5%). Kalau ya, cakap lah.

– menambat matawang Ringgit seperti idea Tun Mahathir? Kalau ya, cakap lah.
– belanjakan lebih banyak rizab antarabangsa kita untuk “support” nilai Ringgit? (Peringatan nilai rizab antarabangsa kita menurun dari USD109.5b ke USD103.4b selama 22 bulan PH memimpin. Kini sudah naik semula hampir ke tahap pra-PH). Kalau ya, cakap lah.

Selain hal Ringgit, mungkin PH hendak cadangkan ambil lebih banyak dividen Petronas? Sebab sudah ada sejarah mereka mengambil sejumlah RM54 bilion dalam masa setahun, iaitu paling tinggi dalam sejarah negara. Mungkin itu perubahan struktural yang dimaksudkan?

Atau mungkin boleh jual aset lagi supaya Kerajaan dapat “cash” untuk tambah subsidi.

(Eh, tapi PH taknak bergantung kepada subsidi lagi kan?)

PH sendiri keliru apa sebenarnya dasar mereka. Bila dah buat keputusan apa sebenarnya pegangan mereka, cakap lah.

#SambungYangTergendala

SHAHRIL HAMDAN
Ketua Penerangan UMNO