Daripada Nak Hina, Caci, Maki UMNO… Lebih Baik Diam – Tengku Adnan
KUALA LUMPUR, 3 Okt – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan agar mana-mana pihak khususnya bekas ahli UMNO agar tidak menghina, maki dan caci UMNO serta kepimpinannya sebaliknya menyarankan mereka ini untuk bermuhasabah diri atau sebaiknya diam.
Ini kerana katanya, tiap hari ada saja kalimah yang burukkan UMNO malah lebih malang apabila yang lemparkan cacian adalah mereka yang pernah terjulang dan menjadi gah lantaran parti keramat UMNO.
“UMNO bukanlah parti mainan atau terbina dengan emosi sebagaimana wujudnya pelbagai parti politik yang ada seperti cendawan tumbuh, malah ada yang telah lenyap pun kerana tidak ada hala tuju.
“Sebagaimana termaktub dalam perlembagaan parti, UMNO adalah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.
“Lantas, daripada nak hina, maki, caci UMNO mahupun kepimpinannya bukankah lebih baik muhasabah diri. Jika tidak mahu lagi bersama dalam UMNO maka jangan pula nak pertikai itu ini, lebih baik diam,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.
Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menegaskan, adalah amat memalukan kepada mereka yang pernah menyulam kegemilangan, mendapat kemashyuran dan ternama adalah atas nama UMNO.
“Diangkat jadi pemimpin kerana UMNO, mendapat kepujian juga jadi hartawan dan kaya raya ekoran keanggotaannya dalam UMNO. Bukan sehari dua, atau cuma sekilas lalu kerana ada yang hidupnya, makan pakai bergantung pada UMNO hinggakan ada yang pernah berada lebih dua dekad di puncak parti ini namun kini sudah ibarat kacang lupakan kulit.
“UMNO tetap UMNO. Asas tujuannya masih sama biarpun usianya telah lebih tujuh dasawarsa. Perjuangannya juga tak berubah biarpun masa berlalu. Kita anggap mereka yang burukkan UMNO, dan lebih teruk mahu kuburkan UMNO atau mahu UMNO dibubarkan seperti angin badai yang datang tapi tak akan menumbangkan pohon kukuh.
“Sekuat mana pun membadai tapi akar umbinya tetap mencengkam jauh ke dasar bumi. Biarpun ada daun-daun gugur malah ada dahan yang patah tapi kelak akan tetap tumbuh kembali. Ini kerana pemimpin UMNO datang dan pergi, silih berganti sedang kekuatannya adalah anggota parti yang kukuh ibarat akar tunjang kukuh mencengkam.”
Kerana itu katanya, mereka yang memburukkan UMNO barangkali tidak dapat menerima bagaimana keadaan berubah dari zaman gemilang dan kini telah merudum.
“Mungkin sewajarnya mereka sedar siapakah diri mereka sebelum berpaut pada UMNO. Apabila niat nak kuburkan UMNO maka lebih elok cermin diri untuk nilai apakah wajar membunuh peluang orang lain pula sedangkan UMNO menjadikan rakyat dan negara lebih baik demi pada masa hadapan.
“Begitu juga kepada mereka yang lain waima bukan ahli UMNO atau bukan pendukung UMNO sekalipun, sedikit sebanyak pastinya ada budi UMNO dalam hidup mereka.
“Ini kerana UMNO bersama BN menjadi teraju kerajaan yang membolehkan pelbagai dasar dan polisi dilaksana demi rakyat dan negara, dari peluang perubatan, pendidikan hinggalah kepada berkerjaya pun,” tegasnya lagi yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya. – UMNO Online