Persidangan UMNO Perkukuh Parti, Ukhwah Terbaik Menjelang PRU15 – Husna
PUTRAJAYA, 9 Okt – Persidangan peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO adalah ruang terbaik memperkukuh ukhwah ahli-ahli UMNO yang merupakan jentera bagi mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang, kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Putrajaya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Husna Abdul Rahaman berkata bagi menghadapi cabaran yang lebih besar pada PRU nanti, pasukan Jalinan Rakyat (JR) memerlukan sebuah kajian sikap yang lebih terperinci dengan data perlu sentiasa dikemaskini, dan ruang lingkupnya juga perlulah diperluaskan lagi.
“Saya menyarankan supaya kajian sikap menerusi JR idak hanya dilakukan oleh Wanita UMNO sahaja. tetapi perlulah bersikap lebih inklusif dalam soal ini iaitu dengan penglibatan ketua Cawagan dan sayap-sayap di Cawangan dalam mendapatkan kajian sikap di kawasan kita.
“Jangan kita lupakan juga, pemimpin masyarakat setempat misalnya ketua blok dan ketua KRT iaitu kita perlulah lebih terbuka dan cuba untuk libatkan mereka bersama dalam melakukan tinjauan untuk tujuan data ini.
“Saya yakin kita mampu merangka sebuah strategi yang lebih lengkap dan berstruktur sekali gus memastikan UMNO/Barisan Nasional (BN) kembali kuat seterusnya memenangi PRU akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Wanita UMNO Bahagian Putrajaya, semalam.
Dalam masa yang sama, beliau menghargai kesepakatan kepimpinan parti untuk meletakkan 30 peratus calon wanita pada PRU15 nanti.
“UMNO matang dan berjiwa besar, penuh dengan pengalaman yang bukan sahaja gemilang tetapi pernah perit sehingga jatuh ke bumi dan semestinya pengalaman ini telah mendewasakan kita dan kesatuan ini kita wariskan.
“Kita senantiasa mengikut tradisi. kita sokong ketua bahagian kita. kita sokong presiden parti, kita sokong pemimpin-pemimpin kita,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.