Berita

Yakin Anak Muda Bersama UMNO/BN Demi Masa Depan Negara

PUTRAJAYA, 19 Okt – Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Putrajaya percaya bahawa sokongan anak muda di kawasan tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah UMNO/Barisan Nasional (BN) yang akan terus diyakini untuk diberikan mandat agar dapat mengekalkan Parlimen Putrajaya dan menyumbang kepada kemenangan di peringkat Persekutuan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Dr Tengku Iqbal Munawwir Tengku Adnan berkata, meskipun cara serta pendekatan yang diambil untuk mendekati golongan ini berbeza mengikut demografi, namun sokongan terhadap UMNO/BN tidak pudar.

“Kita sememangnya lakukan yang terbaik sepanjang masa untuk mendekati anak muda namun saya akui, kita perlu tingkatkan serta menggiatkan lagi usaha kita hinggalah ke tarikh pengundian.

“Sememangnya cara untuk mendekati mereka memerlukan prosedur yang berbeza, namun Insya-Allah kita laksanakan yang terbaik untuk bersama dengan golongan ini,” katanya kepada UMNO Online.

Tengku Iqbal turut merayu kepada semua pengundi untuk memberikan semula mandat kepada UMNO/BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang bagi mengembalikan kestabilan negara.

“Kepada sahabat-sahabat, penduduk Putrajaya serta para pengundi terutamanya penjawat awam, berikanlah undi kepada UMNO/BN yang selama ini telah terbukti dari segi performa baiknya sendiri.

“Berikan mandat kepada UMNO/BN supaya kestabilan dapat dikembalikan bagi menjamin masa depan negara,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Putrajaya, Jumaitul Laily Zakiah Ismail berkata, ramai wanita muda turut bersama mereka dalam menjayakan pelbagai program di peringkat bahagian.

“Ramai wanita muda bersama-sama dengan kami. Kita dah tubuhkan beberapa badan Non-Government Organization (NGO) dan untuk akhir bulan nanti, kita akan kumpulkan seramai mungkin wanita muda untuk pelbagai program khas seperti Zumba Perdana dan sebagainya.

“Puteri UMNO telah diberi mandat untuk menjaga IT serta unit perisikan yang kita telah mulakan persediaanya bagi memastikan kemenangan BN kekal di Putrajaya dan menyumbang kepada kerusi peringkat Persekutuan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Jumaitul Laily Zakiah, UMNO/BN perlu menang kerana hanya parti ini yang mampu untuk menggerakkan serta membantu rakyat seluruhnya bagi menentukan masa depan negara.

“UMNO/BN perlu menang kerana parti inilah yang membantu serta menggerakkan rakyat di Malaysia khususnya di Putrajaya apatah lagi di sini adalah pusat pentadbiran kerajaan. Dengan menangnya UMNO/BN, pasti lebih ramai anak muda akan dapat dibantu untuk masa depan.

“Kepada para pengundi, jangan salah langkah dan salah pilih. Jangan ulangi semula kesilapan yang sama pada PRU ke-14. Pilihlah UMNO/BN bagi mentadbir semula negara,” katanya lagi. – UMNO Online