Berita

Jangan Lupa Bagaimana Layanan PH Terhadap Penjawat Awam – Mohd Hisamuddin

PUTRAJAYA, 21 Okt – Kesan buruk yang dibawa Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan mereka memerintah kerajaan masih lagi berbekas terutamanya di kawasan pentadbiran kerajaan Putrajaya.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Mohd Hisamuddin Yahaya berkata, dengan kesan yang masih ada itu diharapkan agar rakyat terutamanya pengundi di Putrajaya menolak PH semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.

“Kita tahu di Putrajaya ini ada kesan-kesannya sewaktu PH memerintah. Bagaimana mereka nak buang kakitangan awam dan layanan mereka terhadap orang di Putrajaya ini.

“Saya mengharapkan bahawa ada tindak balas daripada rakyat di kawasan ini untuk kita tolak PH pada PRU ini,” katanya kepada UMNO Online.

Katanya, persiapan UMNO/Barisan Nasional (BN) di Putrajaya bagi menghadapi PRU ke-15 berjalan dengan lancar dan mereka mahu memastikan bahawa satu kerusi di kawasan tersebut akan diperoleh oleh parti berkenaan.

“Dari segi persiapan di sini, alhamdulilah semuanya berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Kami telah melakukan pelbagai aktiviti bukan sementara untuk menunggu pilihan raya tetapi sepanjang masa.

“Segala bantuan dan program masih lagi berjalan meskipun kita pernah menjadi pembangkang di tempat sendiri. Jadi, Insya-Allah kita akan memastikan bahawa satu kerusi UMNO/BN datangnya daripada Putrajaya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Hisamuddin berharap agar rakyat sedar akan segala kerosakan yang berlaku disebabkan pentadbiran kerajaan pihak lawan sebelum ini.

“Saya mengharapkan para pengundi terutamanya di Putrajaya ini sedar bahawa apa yang telah berlaku selama 22 bulan sewaktu PH memerintah dan 17 bulan semasa kita di bawah Perikatan Nasional (PN). Sekarang ini alhamdulilah kita dapat Perdana Menteri daripada UMNO/BN yang sudah semestinya cakna akan masalah rakyat.

“Maka, kita perlu berikan semula mandat sepenuhnya kepada UMNO/BN untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran. Undilah UMNO/BN untuk kesejahteraan kita bersama,” katanya lagi. – UMNO Online