Berita

Prinsip Keutamaan UMNO/BN Pastikan Rakyat Sentiasa Dibela – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 30 Okt – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) sentiasa mengutamakan prinsip dalam membela rakyat iaitu memastikan ada makanan, ada tempat tinggal, ada pendidikan dan ada pekerjaan.

Katanya yang juga penyandang kerusi Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO Bahagian terbabit, prinsip yang dilaksana UMNO/BN adalah keperluan penting kepada rakyat dalam meneruskan kesinambungan kehidupan malah menikmati kesejahteraan.

 

“UMNO/BN sentiasa mengutamakan prinsip demi rakyat dan prinsip ini saya aplikasikan untuk kesejahteraan penduduk Putrajaya yang selama ini memberikan amanah kepada saya.

“Saya mahukan keluarga besar saya di Putrajaya sentiasa ada makanan iaitu tidak berlapar, sentiasa ada bumbung untuk menjadi tempat berteduh dari panas dan hujan, mempunyai pendidikan kerana pendidikan dapat memperbaiki kehidupan masa hadapan dan yang keempat ialah memastikan sentiasa ada pekerjaan.

“Keempat-empat perkara tersebut adalah asas dalam kehidupan kita kerana kita perlu makan, perlu ada tempat tinggal, ada pendidikan yang jika bukan untuk kita tetapi demi anak-anak kita dan kemudian mesti ada pekerjaan agar dapat kita merealitikan segala keperluan untuk ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan menerusi perjumpaan bersama anak-anak muda Putrajaya yang diadakan di Gelanggang Futsal Mokhtar Dahari, malam tadi.

Katanya, kesinambungan pembangunan dan kemajuan di Putrajaya yang sebelum ini banyak tertangguh, tergendala dan ada yang dihentikan perlu dilaksanakan semula.

“Biarpun Parlimen Putrajaya kekal kepada BN selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, tetapi apabila kerajaan Pusat ditadbir pihak lain iaitu Pakatan Harapan (PH), banyak perancangan pembangunan yang telah saya lakukan sewaktu saya menjadi menteri Wilayah telah dibatalkan.

“Apa yang amat menyedihkan ialah perancangan pembangunan perumahan RM80,000 seunit untuk komuniti Putrajaya yang sebelum ini telah mendapat kelulusan dan ada peruntukannya pun telah dicantas begitu sahaja.

“Kerana itu, saya mohon kepada semua khususnya para pengundi untuk bersama-sama satukan tekad bagi mengembalikan mandat kepada BN sebagai kerajaan Persekutuan. Apatah lagi kestabilan dan kemakmuran yang ditawarkan adalah impian yang akan menjadikan realiti kepada agama, bangsa dan negara yang lebih baik,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan hasratnya sekiranya BN kekal mentadbir di Putrajaya iaitu untuk menaiktaraf pelbagai kemudahan awam dan pusat-pusat riadah setempat.

“Kita akui bahawa kampung kita ini adalah kawasan bandar dan tentunya anak-anak muda memerlukan prasarana yang lebih baik termasuk gelanggang futsal, badminton, bola jaring, bola keranjang dan macam-macam lagi termasuklah meneruskan liga e-Sport yang sememangnya menjadi sukan baharu golongan muda.

“Bukan itu sahaja, peluang pendidikan lebih baik juga akan diaplikasi dari pendidikan awal kanak-kanak sehinggalah kepada remaja iaitu melibatkan penambahan montessori El-Bambino yang saya miliki sendiri untuk diberikan pembelajaran secara percuma kepada sekitar 1,000 anak-anak tempatan dengan wujudnya kad pendidikan sementara kepada golongan remaja, insya-Allah kolej komuniti setempat akan diwujudkan.

“Dalam masa yang sama, ‘one stop centre’ yang akan di buat di Presint 8 dan Presint 15 untuk anak muda Putrajaya yang bekerja dalam e-hailing beristirahat dalam kemudahan yang tersedia, insyaAllah banyak lagi akan dimanfaatkan untuk keluarga Putrajaya,” katanya.

Tambahnya lagi, kesiapsiagaan bagi memastikan yang terbaik untuk warga Putrajaya juga meliputi rawatan kesihatan dengan peluasan penggunaan kad Klinik Rakyat KuNan tanpa had umur iaitu klinik yang beliau wujudkan bagi khidmat secara percuma.

“Hak mendapat rawatan terbaik adalah untuk semua komuniti, insya-Allah Klinik Rakyat KuNan akan diaplikasi secara meluas melalui kad rawatan yang ada. Kerana itu, bersama-samalah kita jadikan impian ini sebagai realiti dengan kestabilan dan kemakmuran yang kita tawarkan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Parlimen Putrajaya disandang Tengku Adnan yang memegang kerusi berkenaan selama empat penggal dan pada PRU14, beliau menang dengan majoriti 3,372 undi.

Beliau memperoleh sebanyak 12,148 undi menewaskan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat yang masing-masing memperoleh undi sebanyak 3,634 dan 8,776. – UMNO Online