Bahan Kempen Dirosakkan, Tengku Adnan Gesa Hentikan Perbuatan Khianat, Terdesak
PUTRAJAYA, 12 Nov – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Putrajaya meminta supaya perbuatan khianat dihentikan segera kerana ia mencemarkan imej komuniti Putrajaya yang mempunyai etika dan mengamalkan konsep kekeluargaan.
Beliau berkata demikian berikutan terdapat beberapa bahan kempennya dirosakkan individu yang dipercayai bukan daripada komuniti Putrajaya.
“Saya rasa sedih sedikit kerana tidak pernah selama empat kali pilihan raya (di Parlimen Putrajaya)… ada orang cat poster saya, pangkah poster saya dan jahanamkan benda yang BN telah pasang, ini tidak pernah berlaku.
“Saya sarankan berhentilah, jangan buat benda-benda mungkar…kita tidak mahu ia berlaku di Putrajaya. Bertandinglah secara baik,” katanya.
Ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, semalam, satu laporan polis dibuat oleh wakil BN di Balai Polis Presint 11 di berhubung beberapa poster dan bahan kempennya telah diconteng dan ditulis dengan kata-kata kesat menggunakan cat berwarna hitam.
“Kita telah buat laporan polis kerana kita tidak mahu perkara ini terjadi di Putrajaya… ini tempat yang aman.
“Saya sebagai wakil rakyat dah empat penggal, kita didik warga kita ini bersama-sama bersatu-padu mempunyai satu etika yang baik, di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung, berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing. Ini konsep kita iaitu semangat kekeluargaan tapi datang orang luar, dia buat macam-macam.
“Di Putrajaya bagai sebuah kampung, kita telah menjaga kampung kita dengan aman sejahtera dan sentosa. Kenapa nak lakukan benda-benda ini kalau kamu dah tahu kamu nak kalah… janganlah terdesak sangat… kita nak bertanding jadi bertanding dengan secara baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas beliau menyantuni orang ramai dalam program Semarak Uniti Keluarga Malaysia di Anjung Floria di sini hari ini.
Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Tengku Adnan (BN), Datuk Dr Radzi Jidin (PN), Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH) serta dua calon Bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi. – UMNO Online
You must be logged in to post a comment.