PUTRAJAYA 15 NOVEMBER 2022. Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen P125 Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika meninjau proses pengundian awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Berita

PRU15: Nak Bertanding… Bertandinglah, Jangan Buat Fitnah – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 15 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta pihak lawan yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agar bertanding cara sihat tanpa melontarkan fitnah.

Ini berikutan beliau menjadi mangsa penyebaran fitnah yang menggunakan aplikasi WhatsApp yang tular hari ini mendakwa Tengku Adnan memberikan RM300 kepada pengundi luar.

“Itu adalah satu fitnah yang dilemparkan… saya tidak buat begitu. Nak bertanding, bertandinglah. Jangan buat fitnah. Kita ikut cara berkempen, saya harap mereka hentikanlah, jangan main fitnah sembarangan. Kita ikut apa yang baik untuk kempen kita,” katanya.

Tegasnya, hal sedemikian tidak akan dilakukan olehnya apatah lagi ia menyalahi perundangan.

“Saya tidak akan bagi duit sebab salah dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Tapi puak belah sana saya tidak tahu apa punya tujuan mereka. Saya harap mereka hentikan fitnah sebegini.”

Semalam, pihak Tengku Adnan membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya yang menafikan dakwaan tersebut.

Jelasnya yang juga Bendahari UMNO, dalam baki kempen menjelang pengundian pada Sabtu ini, beliau tidak menolak bahawa perkara-perkara sedemikian terus berlaku.

“Saya berkeyakinan akan ada fitnah-fitnah, saya pun dah tengok ada video saya difitnah macam-macam… kononnya saya ‘jurasic park’lah, dah tualah tapi tak apa, saya masih bernyawa dan saya nak bantu negara, agama dan bangsa saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat tinjauan undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, pagi tadi.

Seramai 1,386 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasangan masing-masing mengundi awal, hari ini.

Dua pusat pengundian awal dibuka masing-masing di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya, Presint 9 dan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Presint 1. – UMNO Online