Selamat Bersidang Cawangan UMNO Putrajaya, Perkukuh Kembali Parti
PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengucapkan selamat bersidang kepada ahlia-ahli UMNO dia akar umbi yang bakal bermesyuarat dan mengadakan pemilihan peringkat Cawangan.
Dalam hal ini beliau mengharapkan agar anggota parti yang mendukung perjuangan akan dapat mengembalikan keteguhan UMNO dan meneruskan penghayatan kepada kewujudannya.
“Setelah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan Perhimpunan Agung UMNO 2022 maka kini kita berhimpun dalam kelompok keluarga UMNO di akar umbi bagi membincangkan hala tuju dan masa hadapan UMNO.
“Justeru gunakanlah mesyuarat ini sebagai satu platform bagi mengembalikan kekuatan UMNO,” katanya.
Terdahulu Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat lalu telah membuat beberapa ketetapan berkenaan tarikh-tarikh untuk diadakan Persidangan Tahunan Cawangan dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian untuk Tahun 2023 termasuk melibatkan pemilihan jawatan.
Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan ialah pada 1 Februari (Rabu) hingga 26 Februari 2023 (Ahad) iaitu selama 26 hari.
Menyusul berikutnya ialah Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan PUteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Pusat yang akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac 2023 (Sabtu).
Manakala Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac 2023 (Sabtu). – UMNOPutrajaya