Tolak Fitnah, Waspada Gerakan Berniat Jahat Burukkan UMNO Bahagian Putrajaya
PUTRAJAYA – Situasi semasa dalam UMNO membabitkan mesyuarat peringkat akar umbi iaitu Cawangan yang berlansung serentak dengan pemilihan sejak 1 Februari hingga 26 Februari depan menimbulkan pelbagai cerita termasuklah fitnah dan dakwaan buruk berkaitan parti serta kepimpinannya.
Terbaharu, menerusi laman media sosial Facebook, UMNO Bahagaian Putrajaya yang diterajui ketuanya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah dipalitkan dengan dakwaan negatif iaitu menipu.
Bukan itu sahaja, terdapat gesaan yang berbaur provokasi untuk ahli-ahli UMNO setempat supaya tidak menghadirkan diri dalam mesyuarat yang diadakan.
Dua status akuan facebook yang dimuatnaik hal berkaitan ialah Sam Kelvin dan BNComms Putrajaya yang dipercayai adalah akaun palsu.
Melalui Sam Kelvin memuat naik hantaran yang mengaitkan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak mahu membayar elaun petugas yang disyaki ianya adalah baki elaun ketika PRU lalu, malah turut menyebut tentang boikot mesyuarat UMNO.
Dalam hal ini, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Putrajaya, Saudara Muhammad Harith Ahmad Shater membidas tindakan terbabit yang dianggap fitnah, berniat buruk dan cuba melakukan provokasi untuk mengurangkan sokongan kepada UMNO.
“Pada pandangan saya ini adalah bersifat fitnah dan provokasi. Sebagai ahli Jawatankuasa Bahagian, saya mengesahkan bahawa perkara seperti itu langsung tidak dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat.
“Provokasi supaya ahli tidak hadir dalam mesyuarat juga satu perkara yang serius kerana sebagai sebuah organisasi yang sah, setiap ahli perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli parti untuk bermesyuarat,” katanya.
Selain itu ada juga hantaran lain yang Sam Kelvin muat naik bersifat fitnah dan jelek iaitu mengatakan bahawa Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menipu.
“Saya percaya hantaran ini juga berkaitan pembayaran elaun kepada petugas parti pada PRU lepas. Perkara ini juga adalah palsu dan berunsur fitnah yang sengaja diadakan bagi memberi gambaran bahawa UMNO menipu ahli dan petugas PRU lalu.”
Satu lagi hantaran facebook bernama BNComms Putrajaya yang dipercayai juga palsu memuat naik beberapa hantaran yang mempunyai niat jahat dan berunsur fitnah kepada UMNO Bahagian Putrajaya.
Lantaran itu, orang ramai khususnya ahli-ahli UMNO perlu waspada ekoran berita palsu sedemikian berlegar dalam kalangan komuniti setempat apatah lagi pemilihan peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian akan berlangsung pada 11 Mac depan disusuli peringkat bahagian dan Pusat pada 18 Mac. – UMNOPutrajaya