Berita

Mesyuarat MKT UMNO Bincang Etika Pemilihan Parti

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi membincangkan secara terperinci berkenaan etika semasa pemilihan parti, bulan depan.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, berkata perbincangan mengenai perkara itu adalah bagi memastikan kempen yang dilakukan sepanjang tempoh pemilihan adalah secara positif.

“Tadi banyak bincang tentang pemilihan akan datang, tentang pengurusan serta perkara-perkara yang boleh dibuat dan yang tidak boleh dibuat.

“Misalnya, kita galakkan kempen positif atau tidak menyerang calon. Kita tidak mahu bila kita kempen negatif bukan orang UMNO sahaja yang tengok tetapi parti lawan juga tengok… ini tidak baik,” katanya kepada pemberita selepas ditemui selepas mesyuarat itu dipengerusikan presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas mengenai sambutan pemilihan parti kali ini, Isham berkata respons yang diterima amat menggalakkan sekali gus membuktikan demokrasi dalam parti terus bercambah.

“Setakat hari ini, jumlah borang pencalonan yang diterima adalah amat menggalakkan dan ini maksudnya ramai lagi yang berminat nak bertanding jawatan dalam UMNO,” katanya.- BERNAMA