Berita

Laksanakan Pemilihan Dengan Bertanggungjawab, Pilih Terbaik Untuk Kembali Perkasa UMNO – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Pemilihan UMNO yang bakal berlangsung Sabtu ini bagi peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serta peringkat Bahagian dan Pusat pada Sabtu depan perlu disokong dengan pelaksanaan penuh tanggungjawab dari para perwakilan.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyarankan agar semua perwakilan bertindak secara matang dalam menentukan pilihan kerana hasilnya kelak akan membariskan kepimpinan masa hadapan.

“Pilihlah mereka yang boleh bekerja, mengutamakan muafakat dalam kumpulan iaitu berpadu berusaha bagi mengembalikan UMNO sebagai sebuah parti perjuangan ulung demi agama, bangsa dan negara,” katanya kepada UMNO Online .

Beliau yang kekal menerajui kepimpinan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya tanpa sebarang pertandingan turut mengingatkan anggota parti agar terus sepakat meneruskan agenda perjuangan UMNO.

“Ingatlah bahawa tekad utama kita adalah bagi mengembalikan UMNO kukuh dan kekal relevan setelah melalui pelbagai cabaran termasuklah penolakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

“Kerana itulah pemilihan kali ini amat penting untuk kita memiliki barisan kepimpinan yang tentunya bertekad mengembalikan perjuangan UMNO apatah lagi setelah melalui pelbagai cabaran sebelum ini.

“Janganlah pilih kerana emosi atau ada kepentingan tertentu kerana yang amat penting adalah mengundi mereka yang setia, boleh bekerja dalam satu pasukan sebagaimana UMNO ini sendiri adalah platform perjuangan kepada anggota akar umbi malah menjadi harapan untuk rakyat keseluruhannya juga,” katanya.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – UMNO Online