Aktiviti & Komuniti

Selamat Bersidang UMNO Bahagian Putrajaya

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah. Setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT. UMNO Putrajaya terus bersidang dari peringkat Cawangan membawa ke Bahagian yang memberi makna bahawa obor perjuangan parti keramat ini sentiasa menjadi wahana kepada masyarakat.

Sesungguhnya kewujudan UMNO adalah berpaksikan kepada kesinambungan perjuangan yang menjadi legasi demi memartabatkan agama, bangsa dan nusa tercinta. Lantaran itu, tergalas di bahu kita hari ini untuk mencorakkan kejituan hasrat dan tekad bagi memastikan masa hadapan generasi penerus bangsa tidak terleka.

Sememangnya, cabaran masa lalu termasuk keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 amat getir malah terlalu banyak rintangan yang dilalui. Bukan hanya di Putrajaya malah di seluruh negara diselubungi duka akibat kegagalan untuk teraju kuasa. Namun begitu kuasa Allah SWT merahmati perjuangan UMNO malah Barisan Nasional menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan hari ini.

Apa pun, perjuangan UMNO tanpa noktah biarpun telah merentasi badai dan hari ini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Ini kerana maruah yang tercalar perlu diangkat kembali iaitu berusaha memperkukuh parti iaitu UMNO mesti kembali teguh dalam hasrat mendepani landskap politik yang dinamik.

Agenda memperteguh UMNO ini bukanlah semata-mata tuntutan keahlian atau gerakan dalaman parti namun ia juga tindakan serampang dua mata yang akan turut fokus kepada pengukuhan sokongan rakyat dan pengundi khususnya golongan muda.

Penghayatan kepada nilai perjuangan UMNO bukanlah untuk diri kita malah UMNO menolak kepentingan peribadi atau agenda untuk diri kerana apa yang lebih penting adalah hasrat memurnikan masa hadapan negara. Ini mesti dilaksana dengan generasi pewaris hari ini siap siaga menyambut obor perjuangan untuk terus disemarakkan menjadi sebahagian dalam cita-cita masa hadapan lantas menjadikan Pilihan Raya Umum ke-16 kelak sebagai fokus utama.

Dalam masa yang sama, perpaduan dan solidariti sesama kita juga amat penting diperkukuh agar tidak mudah goyah apabila diasak oleh pihak lawan. Kita tidak mahu ada mana-mana ahli yang menjadi api dalam sekam, musang berbulu ayam atau gunting dalam lipatan malah kita sepakat bersama perteguh UMNO demi kepentingan agam, bangsa dan negara tercinta.

Justeru, marilah kita bermuafakat pererat silaturrahim dalam keluarga besar UMNO Putrajaya untuk kembali bangkit melangkah mara ke hadapan bagi mengembalikan kejayaan dan melakar kecemerlangan. Teruslah ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

Selamat bersidang

TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
Ketua UMNO Bahagian Putrajaya