Berita

Ihya Ramadan Putrajaya, Tengku Adnan Buktikan Khidmat Untuk Rakyat Tidak bermusim

PUTRAJAYA – Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor membuktikan realiti khidmat dan kesungguhan bersama komuniti setempat bukan hanya ketika bergelar wakil rakyat sebaliknya meskipun tanpa bergelar ahli Parlimen beliau tetap menyantuni para penduduk Putrajaya.

Hal tersebut diaplikasi dengan program Ihya Ramadan Putrajaya yang sememangnya telah menjadi tradisi bagi UMNO Bahagian terbabit sejak lebih 20 tahun lalu.

Bagi Tengku Adnan yang sentiasa menganggap warga Putrajaya sebagai keluarga besarnya, meraikan kedatangan Ramadan dengan berkongsi rezeki adalah antara keutamaan malah ianya dibuat bukan hanya kerana jawatan ahli Parlimen yang pernah disandangnya sebelum ini.

“Saya menyantuni masyarakat Putrajaya yang telah saya anggap sebagai keluarga besar kepada saya sendiri malah bulan Ramadan adalah antara ruang serta peluang kepada saya untuk berkongsi rezeki, saling mengingati dan mengimarahkan bulan mulia ini,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini beliau enggan mengambil maklum berkaitan dakwaan Ahli Parlimen baharu yang dikatakan tidak mengambil berat berkaitan penduduk setempat.

Terdahulu, Parlimen Putrajaya bertukar kepimpinan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu apabila Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dari Perikatan Nasional (PN) mengalahkan Tengku Adnan dengan majoriti 2,310 undi.

Namun tegas Tengku Adnan, biarpun tidak bergelar wakil rakyat, khidmat dan bakti kepada orang ramai sememangnya telah sebati bagi UMNO yang menjadi keutamaan kepada beliau apatah lagi dalam bulan Ramadan.

“Agihan serunding dari rumah ke rumah untuk komuniti setempat bukanlah sesuatu yang baharu atau dilaksanakan bermusim sebagaimana pihak tertentu yang hanya muncul apabila tibanya pilihan raya kerana UMNO berkhidmat setiap masa,” katanya.

Sebelum itu, beliau yang juga Bendahari UMNO melalui UMNO Bahagian Putrajaya juga telah memberikan sumbangan kepada 68 buah surau di sekitar Putrajaya bagi Program Ihya’ Ramadan.

Sumbangan ini diaplikasi dengan memberikan sumbangan berupa barangan keperluan untuk moreh dan wang tunai untuk mengimarahkan bulan Ramadan.

“Saya berharap sumbangan ini akan dapat meringankan usaha ahli jawatankuasa surau-surau di Putrajaya untuk memeriahkan sepanjang bulan Ramadan ini.

“Semoga sumbangan ini akan memberi manfaat kepada orang ramai khususnya qariah di surau-surau yang akan memeriahkan Ramadan al-Mubarak di kawasan kita dan dapat memberi keselesaan kepada semua untuk sama-sama kita meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau juga turut meraikan warga setempat dalam majlis tadarus dan tahlil sempena iftar Ramadan di Surau At-Muttaqin, Presint 5 di sini, semalam di samping menyampaikan sumbangan dan bingkisan Ramadan kepada para peserta serta penduduk tempatan. – UMNO Online