Berita

Iktibar Pilihan Raya Thailand Dan Turkiye, Aplikasi Tauladan Untuk PRN Kelak – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor berharap rakyat khususnya pengundi dan golongan muda akan dapat menjadikan pilihan raya Thailand dan pilihan raya Turkiye yang baru selesai sebagai tauladan dalam aplikasi memilih kerajaan demi masa hadapan negara.

Ini kerana katanya, kelangsungan kepimpinan amat penting bersandarkan kepada kemampuan, kelayakan dan kebolehan bagi membawa negara ke arah yang lebih baik.

“Saya mengikuti perkembangan pilihan raya di Thailand dan Turkiye dan menariknya adalah keputusan pengundi muda untuk terlibat secara langsung dalam pengundian yang menunjukkan kematangan mereka dalam memilih pemimpin.

“Di Thailand, biarpun berlaku peralihan kerajaan kepada parti lain namun mereka tentunya menilai bersandarkan kepada latar belakang parti dan kebolehan untuk mentadbir dengan keyakinan peluang masa hadapan.

“Tentunya mereka memilih dengan menolak sebarang prasangka atau tidak puas hati kerana keutamaan adalah kepada kelangsungan sebuah negara yang maju dan memberi kesejahteraan kepada rakyatnya,” katanya.

Sementara di Turkiye pula, Tengku Adnan mengakui walaupun ada pusingan kali kedua tetapi melihat kepada pusingan yang pertama, pengundi muda terlibat dalam pilihan raya dan mereka menyumbang kepada kemenangan untuk parti Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

“Berdasarkan situasi semasa dalam pentadbiran Erdogan, saya yakin bahawa beliau akan dapat melakukannya.

“Inilah hasil dari sumbangan nak-anak muda yang matang dalam melakukan pengundian dengan memilih gabungan orang-orang yang benar-benar berkemampuan sama ada dari segi fizikal dan mental termasuklah pembangunan ekonomi demi kelangsungan kemajuan masa hadapan.”

Justeru, Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya mengharapkan anak-anak muda di tanah air dapat mengambil iktibar dan menjadikan hal-hal persekitaran sebagai ruang terbaik bagi melakukan pilihan.

“Untuk para pengundi khususnya pengundi-pengundi muda terutamanya bagi enam negeri yang bakal mendepani pilihan raya tak lama lagi, maka pilihlah pemimpin dan parti yang benar-benar mampu mentadbir.

“Lihatlah bukti yang nyata dan lakukanlah perbandingan dengan jelas berdasarkan pembangunan yang telah dikecapi selama ini, maka selepas membuat keputusan bulatkan tekad untuk memilih tanpa ada ragu-ragu biarpun ada nanti yang cuba melakukan manipulasi dan persepsi, pilihlah yang jelas untuk bersatu, bersetia dan berkhidmat,” katanya lagi.

Terdahulu, pilihan raya Thailand menyaksikan parti Move Forward menewaskan parti-parti lawan, sementara di Turkiye, Erdogan dan sekutu-sekutunya berjaya mengukuhkan sokongan rakyat dengan mesej jelas mengenai keganasan, keselamatan dan nilai-nilai kekeluargaan meskipun keadaan ekonomi terus menjadi kebimbangan utama pengundi. – UMNO Online