UCAPAN DASAR PRESIDEN UMNO MALAYSIA
UCAPAN DASAR PRESIDEN UMNO MALAYSIA
Y.A.B. DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2023
9 JUN 2023 / 20 ZULKAEDAH 1444
MEMPERTAHANKAN KEINDUKAN DEMI KESTABILAN
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ ٱللَّهِ وَبَرَكاتُهُ
Salam Malaysia Madani
اللَّهُمَّ صَلِّ صَلاَةً كَامِلَةً
وَسَلِّمْ سَلاَمًا تَامًّا
عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الَّذِيْ تُنْحَلُ بِهَ الْعُقَدُ
وَتَنْفَرِجُ بِهِ الْكُرَبُ
وَتُقْضَى بِهِ الْحَوَائِجُ
وَتُنَالُ بِهِ الرَّغَائِبُ
وَحُسْنُ الْخَوَاتِيْمِ
وَيُسْتَسْقَى الْغَمَامُ بِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ
وَعَلىَ آلِهِ وَصَحْبِهِ فِيْ كُلِّ لَمْحَةٍ
وَنَفَسٍ بِعَدَدَ كُلِّ مَعْلُوْمٍ لَكَ
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan
YAB Dato’ Seri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri yang mewakili Premier Negeri Sarawak
YB Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, Presiden Warisan.
Yang Berbahagia, Tan Sri Pengerusi Tetap
Dato Seri Utama Timbalan Presiden UMNO
YAB / YB Naib-Naib Presiden UMNO
Ketua Wanita UMNO Malaysia
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Sahabat-sahabat Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia
Rakan-Rakan Presiden Komponen Barisan Nasional
Presiden MCA, Presiden MIC, Presiden PBRS
Presiden parti-parti bergabung Barisan Nasional – IPF, KIMMA, Makhal Sakti, Malaysian Indian United Party, Parti Cinta Malaysia dan Parti Punjabi Malaysia.
Pimpinan UMNO Bahagian dan sidang perwakilan serta para pemerhati yang saya hormati sekalian
Biduk lalu kiambang bertaut
Indahnya kias peribahasa
Dengan hormat kami menyambut
Dato’ Seri Anwar tetamu istimewa
Carik-carik bulu ayam
Lama lama bercantum jua
Kita lupakan kisah yang silam
Demi negara kita bersama
Para hadirin dan sidang perwakilan
1. Selamat datang kita ucapkan kepada Yang Amat Berhormat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang sudi hadir ke Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini. Tentunya detik ini amat bersejarah kerana 25 tahun kita berpisah, atas aturan Allah yang tentunya penuh dengan hikmah, kita kembali bersama untuk meneruskan perjalanan sebuah negara bangsa.
2. Saya juga mengalu-alukan kehadiran saf pimpinan parti-parti sahabat yang lain bersama-sama kita pada hari ini.
3. Alhamdulillah, Perhimpunan Agung 2023 adalah perhimpunan pertama, bagi barisan kepimpinan UMNO untuk sesi 2023 hingga 2026 di semua peringkat. Tidak terlewat untuk saya mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baharu yang terpilih, bermula di peringkat Cawangan, Bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi. Begitu juga barisan kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri di semua peringkat..
4. Sesungguhnya jawatan itu adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan. Apatah lagi, kita kini berada dalam dimensi politik yang baharu. Perubahan bukan sahaja melibatkan laman politik, malah ehwal ekonomi dan cabaran sejagat juga. Pastinya ia akan mempengaruhi langkah kita sebagai sebuah parti yang telah lahir sejak sebelum merdeka.
5. Melalui pemilihan parti kali ini, sebanyak 36 peratus Ketua-Ketua UMNO Bahagian adalah daripada kalangan muka-muka baharu. Ini menjadikan 72 peratus Ketua UMNO Bahagian, terdiri daripada mereka yang memegang jawatan Ketua Bahagian tidak melebihi 10 tahun. Komposisi ini menghasilkan gandingan mantap muka baharu dan yang berpengalaman. dalam memahami kehendak politik semasa.
6. Jika diambil kira perubahan kepimpinan di peringkat Timbalan Ketua Bahagian, 66 peratus adalah muka-muka baharu dan Naib-Naib Ketua Bahagian pula sebanyak 73 peratus. Saya sengaja berkongsi perangkaan ini bagi memperlihatkan proses peremajaan parti, dan usaha mempersiapkan barisan kepimpinan pelapis, sentiasa subur di dalam UMNO. Ia juga menjadi bukti bahawa, amalan demokrasi terus hidup dan berjalan dengan baik di dalam parti kita. Saya ucapkan tahniah kepada semua.
7. Patah tumbuh hilang berganti, pemimpin datang dan pemimpin pergi adalah tradisi dalam parti keramat kita ini. Yang lama dan berpengalaman terus mencurah bakti, yang baharu datang dengan nafas segar saling melengkapi. Yang baharu menghormati yang lama, yang lama pula menyayangi yang baharu. Itulah indah dan tertibnya perjalanan parti kita.
Saudara-saudara sidang perwakilan sekalian
8. Dalam kita mendepani senario politik yang mencabar di dalam negara, kita tidak boleh memisahkan negara kita daripada perubahan dan cabaran di peringkat antarabangsa.
9. Sebelum saya meneruskan ucapan, suka saya mengajak sidang perwakilan sekalian untuk berkongsi kisah kejayaan kita di peringkat antarabangsa dua hari lalu. Kita berjaya mengenepikan tuntutan kumpulan yang mendakwa waris Sulu di Mahkamah Paris terhadap negara kita. Keputusan muktamad Mahkamah Rayuan Perancis itu perlu kita rayakan kerana ia adalah kejayan Kerajaan Madani yang menyaksikan partisipasi aktif dua Menteri daripada parti kita iaitu Menteri Undang-undang serta Menteri Luar.
Sidang perwakilan sekalian
10. Percaturan kuasa-kuasa besar dunia, dalam bidang politik, ekonomi, teknologi dan ketenteraan, secara tidak langsung akan memberi impak yang luas terhadap hala tuju negara.
11. Sebagai sebuah negara yang terletak di persimpangan Asia Tenggara, Malaysia tidak dapat lari daripada memainkan peranan penting, terhadap perkembangan geopolitik serantau. Setiap langkah dan keputusan kita, pasti memberikan dampak kepada keamanan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.
12. Persaingan kuasa-kuasa besar dunia, dalam melebarkan pengaruh juga semakin hangat. Amerika Syarikat, China, dan disulami pengaruh negara Rusia dan Liga Arab, semuanya menjurus kepada sifat superpower. Ditambah pula, senario yang melibatkan peralihan dalam pakatan politik dan ketenteraan di kalangan mereka. Contohnya perubahan dalam hubungan antara Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah, serta kerjasama yang semakin erat di antara China dan Rusia, adalah merupakan satu fenomena baharu politik global.
13. Dampak kepada persaingan ini, tentunya akan merubah tata aturan dunia. Kewujudan blok kuasa baharu tentunya akan memberi kesan kepada aspek politik, ekonomi dan pertahanan sejagat. Pendekatan kuasa-kuasa besar yang mahu menjadi dominan, sama ada sebagai kuasa tunggal (unipolar) mahupun membentuk pakatan (multi polar), tentunya, memberi kesan kepada keseimbangan kuasa global dan boleh menjadi bibit-bibit konflik serantau.
14. Saya lontarkan senario perubahan dunia ini, kerana ia perlu ditangani oleh Kerajaan Perpaduan dengan penuh berhati-hati. Rantaian percaturan politik dunia dan penguasaan sumber yang semakin mendesak ekoran perubahan iklim, adalah antara potensi konflik antarabangsa, yang sudah pasti turut memberi kesan besar, terhadap ekonomi dan dasar negara. Daripada sini jua lah, kita akan berhadapan dengan turun naik harga komoditi, keterjaminan makanan, perdagangan dan pelaburan antarabangsa, isu alam sekitar, keperluan dan kemudahan kesihatan, teknologi, pembangunan infrastruktur, pertahanan dan keselamatan negara.
15. Ekoran kesan-kesan yang berlaku itu pula, sudah tentu secara langsung akan memberi impak kepada soal kehidupan rakyat secara keseluruhan. Termasuklah dalam urusan jual beli, keperluan harian mereka.
16. Justeru, kerjasama serantau dan diplomasi pelbagai hala, amat penting bagi Malaysia dalam menangani isu global ini. Kita mesti memanfaatkan, hubungan strategik dengan kuasa-kuasa global dengan mengekalkan dasar berkecuali demi kepentingan negara. Kita perlu mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara maju dalam pelbagai bidang. Ini akan seterusnya membantu Kerajaan, dalam meningkatkan daya saing negara serta mendapatkan kelebihan, dalam perubahan geopolitik dunia.
Sidang perwakilan sekalian
17. Dalam mendepani cabaran-cabaran sejagat, sebagai sebuah parti, UMNO juga berhadapan dengan warna warni perubahan politik dalam negara. Kita harus mengakui realiti ini. In Sha Allah, 23 tahun mendatang, UMNO akan memasuki usia satu abad perjuangannya. UMNO akan terakam sebagai sebahagian daripada sejarah pembangunan sebuah negara bangsa. Hakikat ini, tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Seawal perjuangan menuntut kemerdekaan, mengisi erti kemerdekaan, membawa negara menuju destinasinya, banyak sentuhan UMNO yang mencorak wajah Malaysia hari ini dan masa hadapan.
18. Asas-asas kenegaraan yang disepakati oleh para pembina negara bangsa, kekal menjadi pedoman. Penyimpangan atau cubaan menafikan kesepakatan yang telah terjalin, boleh mengundang ketidakstabilan. Malaysia telah melalui fasa ini, selepas PRU Ke-14 yang lalu. Ketika itu, ada suara-suara sumbang yang mula menyentuh perkara-perkara asas yang telah disepakati bersama. Akibatnya, berlaku keretakan dalam kerajaan yang akhirnya membawa ketidaktentuan.
19. UMNO, sejak memperjuangkan kemerdekaan negara, sentiasa berpegang kepada jalan sederhana. Walaupun sering cuba digambarkan dengan label parti rasis, parti perkauman, sejarah telah membuktikan, UMNO merupakan suatu gerakan politik dinamik, yang mengambil jalan tengah dalam mempertahankan asas serta paksi kenegaraan. Itulah pendirian UMNO hingga ke saat ini.
20. Di awali dengan pemberian taraf kerakyatan melalui prinsip Jus Soli pada tahun 1957, UMNO yang memimpin gerakan nasionalis, berjaya melunakkan pendirian orang Melayu ketika itu. Bagi UMNO, matlamat utama adalah untuk mencapai kemerdekaan, dengan menjamin kedudukan Islam dan orang Melayu terpelihara di dalam Perlembagaan.
21. Susulan insiden 13 Mei 1969, yang menjadi catatan hitam negara, UMNO bingkas merencana usaha untuk memberikan terjemahan yang lebih jelas, terhadap soal perkongsian kuasa dan pengagihan ekonomi negara.
22. Allahyarham Tun Abd Razak, menggarap idea dan menterjemahkannya melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dasar ini, menghapuskan pengkelasan masyarakat berasaskan kaum yang diidentitikan mengikut sektor ekonomi dan penempatan mereka. Melayu di kampung dengan bertani, Cina di bandar dengan perniagaan dan India pula di estet dengan perladangan.
23. Dalam konteks politik pula, selepas peristiwa hitam 1969 tersebut, proses penyatuan politik nasional telah digarap. Penubuhan Barisan Nasional, adalah inisiatif yang menggabungkan Perikatan di Semenanjung yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC, bersama-sama dengan parti-parti sahabat dari Sarawak iaitu PBB dan SUPP, serta USNO dari Sabah. Turut tergabung melalui inisiatif ini ialah People’s Progressive Party (PPP), Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan parti GERAKAN. Jumlah ini kemudiannya bertambah sehingga menjadi 13 parti seluruh Malaysia.
24. Gabungan politik ini pada ketika itu, turut mengundang resah umat Melayu. Ini memandangkan, dalam gabungan Barisan Nasional semasa penubuhannya, ada parti lawan yang agak keras pendiriannya menguasai pemerintahan Pulau Pinang dan satu lagi parti, hampir dapat memerintah di negeri Perak. Sudah tentu ini menimbulkan kekhuatiran, apakah perjuangan nasionalis dan kedudukan Islam akan tergugat dengan penubuhan Barisan Nasional?
25. Namun hakikatnya, Alhamdulillah, UMNO yang menjadi teras kepada kerjasama tersebut, sekali lagi memainkan peranannya. UMNO dalam mendepani realiti politik baharu, telah melakukan penyesuaian politik pada ketika itu, tanpa mencairkan sedikit pun soal keindukan Islam, tanpa menggadaikan maruah dan agenda Melayu Bumiputera dan tanpa memperjudikan nasib rakyat keseluruhannya. Barisan Nasional malah terus mengorak langkah membawa Malaysia, muncul sebagai sebuah negara yang penuh dengan rekod kecemerlangan dan kejayaan hingga ke hari ini.
26. Proses penyesuaian politik UMNO terus teruji, selepas perletakan jawatan Perdana Menteri Ke-7 yang membawa kepada terbubarnya kabinet. UMNO tetap mengambil posisi untuk bersama-sama mengambil langkah-langkah politik, demi keutamaan negara dan rakyat.
27. Terbaharu, selepas PRU Ke-15, parti kita sekali lagi, berada di tengah persimpangan political adjustment (penyesuaian politik) ekoran tiada sebuah parti atau gabungan yang memperolehi majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan.
28. Berdasarkan rentetan peristiwa yang saya gariskan, bermula di awal kemerdekaan, menangani insiden 1969, kerjasama politik BN pada tahun 1974, ketidaktentuan politik ekoran tindakan PM Ke-7 pada tahun 2020 dan keputusan PRU Ke-15 tahun 2022, kita ahli-ahli UMNO seharusnya berdiri megah kerana parti keramat ini, sentiasa meletakkan keutamaan demi negara. UMNO sentiasa membuka pintu untuk bekerjasama dan sentiasa meletakkan rakyat sebagai agenda utama kita.
29. Sepanjang liku-liku penyesuaian politik yang telah dilalui UMNO, asas serta keindukan negara bangsa terus dipelihara dan terbela. Malah, ini jugalah pra syarat, yang diletakkan oleh UMNO dalam menjalin mana-mana kerjasama politik, termasuk berkongsi kuasa dengan semangat saling mempercayai antara satu sama lain .
30. Meminjam ungkapan yang pernah dilontarkan oleh sahabat saya Allahyarham Ustaz Dr. Siddiq Fadzil, saya petik “Memberikan kepercayaan kepada orang-orang bukan Islam untuk melaksanakan sesuatu tanggungjawab sesuai dengan keahliannya, bukanlah sesuatu yang tidak pernah ada di zaman Rasulullah S.A.W.” Baginda memberikan kepercayaan kepada Abdullah ibn al-Urayqit, seorang bukan Islam, sebagai pemandu arah semasa peristiwa Hijrahtul Rasul ke Madinah.
31. Mengambil ibrah atau pengajaran daripada peristiwa berkenaan dan sesuai dengan perkembangan semasa politik tanah air, Allahyarham Dr Siddiq menyimpulkan, apa yang diperlukan orang bukan Islam tidak hanya zhimmah atau perlindungan, sebaliknya perkongsian kuasa setimpal dengan kekuatan mereka. Inilah formula Barisan Nasional selama ini. Bezanya kini, kita meluaskan perkongsian itu, dengan mereka yang menjadi pesaing kita selama ini.
32. Hakikatnya, kemajmukan negara kita adalah sunatullah, hukum Allah yang perlu sama-sama kita santuni. Sementara kita melakukan penyesusaian politik berdasarkan reality politik semasa, termasuklah dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan sejak 24 November tahun lalu, perkara pokok atau asas yang melibatkan soal Islam, Melayu dan Bumiputera tidak pernah dicabar atau cuba dirobek oleh mana-mana rakan kongsi politik kita. Harapan saya, kesalingan yang terbentuk ini akan memadamkan kecurigaan sesama kita. Jangan lagi ada kenyataan-kenyataan yang boleh menguris hati antara kita. Kepada sahabat-sahabat kita, jangan diusik hati dan perasaan orang Melayu. Begitu juga dengan kita, elakkan tutur dan tindakan yang boleh mengundang resah sahabat dan rakan.
33. Andai ada yang cuba memainkan sentimen, kononnya kerjasama politik yang dilakukan oleh UMNO, akan menghakis kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera, suka saya tegaskan, UMNO bukan political chameleons atau mengkarung politik. Kita tetap mempertahankan empat perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
34. Kita biasa mendengar ayat-ayat Allah dijadikan sandaran untuk mereka mengeluarkan pelbagai fatwa politik mengikut kepentingan. Dalam soal Melayu, kita mendengar fatwa politik tentang assabiyah. Kini merekalah kononnya penyelamat Melayu. Dalam soal hudud, kita pernah dikafirkan dan kemudian atas kepentingan kerakusan politik mereka, disebut pula hudud bukan keutamaan. Semasa mereka berada di dalam kerajaan, mana perginya agenda RUU 355? Ingatlah pesan Allah
وَلَا تَشْتَرُوْا بِاٰيٰتِيْ ثَمَنًا قَلِيْلًا ۖوَّاِيَّايَ فَاتَّقُوْنِ
Dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayat-Ku (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa – tersurat dalam surah Al Baqarah ayat 41
35. Peringatan Allah ini, cukup untuk menggambarkan golongan yang memperdagangkan ayat-ayat Allah, berselindung di sebalik kepentingan politik sempit mereka. Benarlah, mereka adalah mengkarung politik yang bukan sahaja berubah warna dan wajah tetapi lebih dahsyat, parti ini seolah-olah, menjadi pemegang neraca, di yaumul mahsyar. Nauzubillah
36. Kita juga biasa mendengar, tuduhan kepada UMNO yang berselindung di sebalik nama Bumiputera. Akan tetapi, tidak sampai pun dua tahun di puncak kuasa, Bumiputera yang kononnya menjadi agenda perjuangan mereka, telah di JANA WIBAWA kan. Inilah ciri-ciri pengkhianat yang membalut dirinya dengan slogan Bersih dan Stabil kononnya.
37. Begitu juga dalam soal kalimah Allah. Kini mereka gegak gempita cuba menjadi juara, dengan menyelewengkan fakta kononnya kerajaan hari ini, telah menggadai kalimah Allah. Hakikatnya, pendirian UMNO tidak berubah walau seinci pun. UMNO dan wakil kita di dalam kabinet, walaupun tanpa perlu berkokok seperti ayam jantan, dengan tegas menyatakan, kalimah Allah tidak boleh digunapakai oleh agama lain. Alhamdulillah, penegasan kita ini juga menjadi pendirian Kerajaan Perpaduan. Berbanding dengan mengkarung politik yang menunggang agama suatu ketika dahulu, semasa bersama rakan politik yang sama seperti kita hari ini, mengatakan tidak salah untuk agama lain menggunakan kalimah Allah. Apa pun hujah mereka, yang jelas dan nyata, mereka akan menukar kulit mengikut suasana. Melayu dan Islam bagi mereka, hanya topeng yang digunakan dalam persembahan sandiwara politik. Sedarlah, Melayu dan Islam bukan topengan. Melayu dan Islam punya santun dalam tindakan, hemah dan sopan dalam pertuturan. Kepada mereka nukilan Tenas Affendi kita titipkan
Apa tanda orang Melayu
Islam menjadi kain dan baju
Apa tanda Melayu terpandang,
mendirikan Islam tiada bercabang
Apa tanda Melayu terhormat,
membela Islam tahan dipepat
Apa tanda Melayu budiman
Hatinya jujur dibalut iman
38. Justeru, saya menyeru kepada seluruh rakan-rakan dalam UMNO, kita jangan merasa apologetic apabila kita menyuarakan soal-soal keindukan Islam, Melayu dan Bumiputera, kerana pada masa yang sama kita tidak pernah meminggirkan hak dan kepentingan kaum-kaum lain di negara ini. Malah usaha memperkasa dan menerapkan nilai-nilai Islam tetap menjadi agenda kita di dalam Kerajaan hari ini di samping menghormati kebebasan penganut agama-agama lain.
39. Dalam usaha untuk membentuk generasi masa hadapan yang seimbang, pada 31 Mei yang baru lalu pelaksanaan kelas-kelas Pra Tahfiz Tabika KEMAS, di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, telah diperkenalkan di tabika KEMAS seluruh negara. Kita mahu melahirkan generasi yang hidupnya berpandukan Al-Quran. Saya bersyukur, semasa sesi libat urus secara langsung dengan guru dan ibu bapa yang terlibat, capaian kepada sesi berkenaan sahaja, mencecah lebih 100 ribu melalui laman Facebook.
40. Malah, kepada mereka yang memainkan naratif kononnya Islam terancam, apakah peruntukan yang diberikan oleh Menteri Kewangan sebanyak RM1.5 bilion kepada JAKIM, yang disalurkan kepada pelbagai institusi Islam bermakna program pembangunan Islam dikesampingkan? Apakah peruntukan RM150 juta untuk pelaksanaan Dasar Tahfiz Negara bagi melahirkan lebih ramai generasi Al-Quran, bukan merupakan usaha untuk membentuk negara, dengan para hufaz yang berketrampilan, sebagai pewaris kepimpinan negara suatu masa kelak?
41. Tidak cukup dengan itu, melalui program Technical and Vocational Education Training (TVET) bagi meningkatkan kemahiran anak-anak muda, program Maahad Tahfiz TVET akan diperluaskan, yang akan membuka peluang usaha dan pekerjaan buat mereka pada masa akan datang.
42. Menjadikan semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) melaksanakan program Ulul Albab juga, adalah manifestasi kita mahu memperkasakan Islam. (Tahniah kepada MRSM Ulul Albab Kepala Batas yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang diumumkan semalam.) Kita mahu melahirkan lebih ramai adik Safwa binti Zamri, mahasiswi UiTM Dungun, yang menduduki tempat kedua teratas di dunia Top ACCA Foundation in Accountancy, yang juga merupakan hafizah Al Quran ketika berumur 14 tahun. Kita mahu meluaskan penyertaan anak-anak kita dalam bidang berkemahiran tinggi, seperti jurutera penerbangan lulusan Malaysia Institute Aviation Technology ( di bawah kendalian UniKL-MIAT) yang terdiri daripada anak-anak Maahad Tahfiz. Semuanya ini kita lakukan kerana Islam, bukan slogan. Membangunkan Melayu, bukan retorika politik. Sebaliknya penterjemahan kepada tuntutan Islam dan agenda Melayu yang sebenar.
43. Begitu juga dalam soal pembelaan nasib orang Melayu dan Bumiputera. Program, cetusan idea dan gagasan besar membangunkan umat Melayu, hasil perjuangan UMNO masih diteruskan hingga ke hari ini. Di Dewan Merdeka inilah lahirnya cetusan idea untuk menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam dan memperkasakan pendidikan Islam seperti KAFA dan kelas-kelas takmir. Malah jauh sebelum itu, MARA, FELDA, Petronas, Institusi pengajian tinggi seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi MARA, adalah gagasan besar UMNO dalam melakukan rekayasa kejuruteraan sosial. UMNO mahu melihat kapasiti bangsanya dibangunkan, serta berupaya menceburkan diri dalam pelbagai sektor perekonomian negara. Walaupun ada yang menyatakan sesiapa pun kononnya yang menjadi kerajaan, soal pembangunan akan tetap berjalan, kejuruteraan sosial seperti yang dilakukan melalui MARA, FELDA, Petronas contohnya, adalah bukti kebijakan UMNO dalam kerajaan.
44. Semua institusi ini masih terus kekal berfungsi di bawah Kerajaan yang ada pada hari ini. Malah pertanggungjawaban membangunkan desa atau luar bandar, terus diletakkan di bawah seliaan UMNO, melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang saya terajui. Dengan peruntukan melebihi RM 11 bilion, ia adalah suatu cerminan, komitmen Kerajaan Perpaduan untuk membangunkan masyarakat desa.
45. Tidak terhenti di situ sahaja, agensi-agensi utama membangunkan masyarakat desa seperti MARA dan FELDA terus diterajui oleh orang-orang UMNO. Lembaga Kemajuan Wilayah seperti KEDA, KESEDAR, KETENGAH, PERDA dan KEJORA juga terus dimantapkan. Institusi-institusi ini, mempunyai tanggungjawab besar untuk menggarap keperluan seluruh rakyat desa atau yang berasal dari perdesaan.
46. Saudara, sebagai wakil UMNO yang dipertanggungjawabkan dalam kerajaan, saya bersama-sama wakil kita di dalam kabinet serta barisan kepimpinan agensi yang dilantik, akan memastikan, agenda membangunkan umat Melayu terus diperkukuhkan lagi. Ini janji kami, ini ikrar kami. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana memberi amanah kepada kami dari UMNO untuk menjayakan agenda besar ini. Sesungguhnya kami berjanji tidak akan sesekali mengkhianati amanah agama, bangsa dan tanah air ini.
47. Di peringkat UMNO pula, Majlis Kerja Tertinggi melalui penubuhan Institut UMNO telah memperkenalkan Tabung Pendidikan Melayu, bagi membantu anak-anak kita mendapat peluang pendidikan yang lebih besar. Tabung ini telah pun kita lancarkan semasa Taklimat Presiden, pada hari Rabu lepas.
48. Justeru, kepada penunggang kaum dan agama, kita tanyakan di mana Islam dan Melayu makin terpinggir? Pesan saya kepada mereka :
Adat Melayu memantangkan fitnah,
Suka memfitnah banyaklah musuh;
Menjilat siku membuang tuah,
Hilang tuah maruah pun runtuh.
49. Buat mereka yang terus mencari-cari isu pula, ungkapan “great minds discuss ideas, small minds gossip about others” (mereka yang berjiwa besar berbicara tentang idea, mereka yang berjiwa kerdil suka bergosip). Ungkapan ini amat sesuai menggambarkan sikap mereka.
50. Menjemput tetamu ke rumah kita adalah isu yang menjadi bahan sembang kari mereka. Soal gambar dalam persiapan dewan mengikut kesesuaian majlis pun, mereka nak ambil port. Alangkah kerdilnya pemikiran mereka berbanding kita. Bagi kita:
Kerajaan Perpaduan adalah gagasan besar;
Masyarakat Madani adalah falsafah besar;
Mendepani landskap politik baharu, adalah anjakan besar.
Semua ini membuktikan kita sentiasa memikirkan agenda dan idea hebat buat negara.
51. Sehubungan itu, kita perlu berani untuk berhadapan dengan kelompok jiwa sempit yang memperalatkan Melayu dan Islam untuk kelangsungan politik mereka. Ini kerana, rekod perjalanan politik kita, sentiasa dipandu oleh Fasal 3 Perlembagaan UMNO, yang tetap mempertahankan Islam, Melayu, Perlembagaan Persekutuan serta perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum.
52. Dengan memberikan gambaran besar peranan UMNO sepanjang laluan sejarah kenegaraan, kita seharusnya merasa lebih yakin tentang keberadaan kita di dalam Kerajaan sekarang.
Saudara saudari sidang perwakilan
53. Saya Insaf, dalam masa parti membuat keputusan untuk bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan, sirah Perjanjian Hudaibiyah wajib menjadi pedoman kita khususnya umat Islam. Walaupun ada kalangan para sahabat Rasulullah S.A.W tidak bersetuju dengan Baginda ketika itu dengan perjanjian berkenaan, namun akhirnya, hikmah kepada perjanjian itu, Fathu Makkah menjadi detik manis dan sejarah besar dalam perjuangan Islam.
54. Oleh yang demikian, dengan perubahan laman politik dunia dan juga di dalam negara, ia menuntut kita agar segera melakukan penyesuaian yang mengambil pertimbangan masa hadapan. Evolusi politik dunia menyaksikan banyak negara kini membentuk kerajaan pelbagai parti, sama ada atas nama kerajaan campuran mahupun kerajaan perpaduan. Parti-parti politik yang sebelumnya berseteru dan tidak boleh bersama, kini bergabung membentuk kerajaan, demi rakyat.
Dulu lawan tetap lawan
Masing-masing membawa haluan
Kini kita menjadi kawan
Demi kekuatan kerajaan perpaduan
55. Hari ini, lebih 70 negara di dunia membentuk kerajaan perpaduan seperti New Zealand, Perancis, Denmark, Brazil dan pelbagai negara yang lain. Kebanyakan negara Barat dan Asia, melorongkan pembentukan ‘Unity Government’ bagi memadamkan polemik politik yang selama ini, merencatkan kestabilan dan menyekat penjanaan ekonomi negara serta rakyat.
56. Kita juga dalam konteks ini tidak terkecuali. Mahu tidak mahu, pembentukan kerajaan mestilah mengambil kira kepentingan negara dan rakyat, tanpa ada lagi keluh kesah, mengenai ketidakstabilan pentadbiran yang membawa masalah kepada rakyat.
57. UMNO yang lahir atas nama kebangkitan rakyat dan maruah negara, sudah pasti tidak mahu membiarkan Malaysia terus terjerumus ke kancah konflik politik yang berpanjangan. Kita perlu segera bangkit, bagi menyusun langkah dan rencana untuk bersama-sama menyertai politik progresif dunia masa kini.
58. UMNO, perlu memiliki ‘progressive nature’ atau sifat progresif ini. Dalam berpegang teguh kepada perjuangan untuk Agama, Bangsa dan Negara, pergerakan kita ke hadapan perlu menggarap unjuran politik semasa.
59. ‘Progressive nature’ ini juga bermaksud, kerajaan benar-benar melestarikan pembangunan negara dan rakyat, tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan fahaman politik. Keserataan nikmat pembangunan mesti diagihkan. Jika Semenanjung lebih berketrampilan daripada segi ekonominya, maka Sabah dan Sarawak juga berhak memperolehinya. Padamkan emosi mengenai jurang perbezaan ini.
60. Dalam konteks Kerajaan Perpaduan Malaysia, ia adalah satu realiti politik yang terhidang di hadapan kita. Dengan penyertaan 19 parti-parti komponen, lebih besar daripada caturan kerjasama politik 1974, sudah tentu rencamnya lebih rumit. Namun, kepelbagaian yang terdapat, seharusnya dilihat sebagai suatu kekuatan, bila mana kita berupaya untuk berdiri atas titik-titik persamaan. Sementara kita meraikan perbezaan dan persamaaan, UMNO akan memastikan kekuatan yang dibina ini, akan tetap berpaksikan kepada asas-asas negara yang selama ini, menjadi pelindung keamanan, keharmonian dan kestabilan negara.
61. Di samping itu, dalam tempoh tujuh bulan Kerajaan Malaysia Madani ini, ada suara-suara yang mengatakan banyak perkara yang menjadi game changer masih belum terlaksana. Berilah peluang kepada kerajaan ini untuk menterjemahkan agenda yang telah dijanji dan dirancang. Saya percaya, ini dapat dilaksanakan dengan dukungan kakitangan awam, yang berpegang kepada prinsip menumpahkan taat setia kepada kerajaan semasa. Walaupun kita tahu, ada segelintir kecil yang masih berkiblatkan kepada orang lama yang mereka minati sebelum ini, akan tetapi kita yakin, mereka akan kembali bersama dengan kerajaan sedia ada bagi melaksanakan dasar kerajaan untuk kesejahteraan rakyat dan negara.
Saudara-saudari sidang perwakilan sekalian.
62. Bergerak ke hadapan, UMNO yang kini bersama-sama di dalam Kerajaan, mempunyai peranan besar:
Pertama, menjadi pelindung dan benteng kepada asas-asas keindukan bernegara, agar Islam, Melayu/Bumiputera dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan terus dipertahan dan tidak dipertikai;
Kedua, menjamin kerjasama politik yang dijalin adalah atas kepentingan negara dan rakyat; di samping menentukan kestabilan negara tidak akan diganggu gugat oleh mereka yang kemaruk untuk berkuasa;
Ketiga, memastikan UMNO dan Barisan Nasional kekal menjadi rakan strategik politik Kerajaan Perpaduan dan kedudukan UMNO serta Barisan Nasional mestilah mencerminkan representasi sebenar keberadaan kita khususnya di Semenanjung dan Sabah.
Keempat, memainkan peranan penting dalam isu-isu ummah melalui kerjasama dengan negara-negara Islam; dan
Kelima, meningkatkan penglibatan Malaysia di pentas antarabangsa, bagi menarik lebih banyak pelaburan dan perniagaan ke negara ini demi kesejahteraan rakyat.
63. Atas semangat dan pendekatan kebersamaan, kita akan berhadapan dengan Pilihan Raya di enam buah negeri – Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Kerjasama yang baharu terbentuk sekitar tujuh bulan ini, yang masih dalam peringkat permatangan, akan menjadi medan untuk kita memupuk persefahaman. Kita akan berhadapan dengan dua situasi berbeda pada PRN kali ini. Pertama, tiga negeri yang kini ditadbir oleh rakan kita dan kedua tiga lagi negeri yang dikuasai pihak lawan.
64. Apa yang ingin kita capai melalui PRN tersebut. Sudah tentu, kita bersama-sama rakan politik dalam kerajaan:
i. Bertekad mahu mempertahankan penguasaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan; di samping memecahkan tembok penguasaan pihak lawan di Kedah, Terengganu dan Kelantan.
ii. Berusaha meningkatkan keberadaan UMNO dan Barisan Nasional bagi mencerminkan kebersamaan Kerajaan Perpaduan;
iii. Membentuk Kerajaan Perpaduan dengan pembahagian pentadbiran negeri mengikut parti-parti teras dalam kerjasama di enam negeri yang terlibat.
Saudara-saudari sidang perwakilan sekalian
65. UMNO memikul amanah yang amat besar kerana berhadapan dengan negeri-negeri yang dikategorikan sebagai Jalur Melayu atau the malay belt iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
66. Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membawa umat Melayu dan rakyat di negeri-negeri berkenaan, menjadi sebahagian daripada Kerajaan Madani yang benar-benar mencerminkan wajah Malaysia. Kita tidak mahu, negeri-negeri berkenaan diheret ke kancah fahaman politik yang memisahkan rakyatnya, daripada hakikat laman politik tanah air.
67. Jika kita benar-benar mahu melihat Islam dan Melayu unggul, kebersamaan di dalam Kerajaan di Putrajaya akan mengukuhkan agenda Islam Melayu yang sederhana dan progresif.
68. Banyak agenda pembangunan asas, terutama di Kedah dan Kelantan, memerlukan perubahan-perubahan besar. Islam itu bersih. Bersih di luar dan bersih di dalam. Untuk bersih, Islam memerlukan air bersih. Soal keperluan air bersih umpamanya di Kelantan, seolah-olah jalan penyelesaiannya tidak kunjung tiba. Apakah mereka tidak diberi peluang? Tiga puluh tiga tahun menjadi pemerintah di negeri dan wakil mereka pernah menjadi Menteri yang menjaga air, air karat masih gagal ‘dijernihkan’. Karatnya air begitu jugalah karatnya hati mereka.
69. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya, anak-anak Kelantan, Kedah dan Terengganu di perantauan, fikirkanlah nasib ibu ayah yang tinggal di negeri-negeri berkenaan. Janganlah dek kerana satu undi yang kita berikan, kita akan terus membiarkan ibu ayah kita, berhadapan dengan kesulitan hidup berterusan. Inilah masanya untuk mereka bersama-sama dengan Kerajaan Malaysia Madani.
70. Ketentuan Allah memberikan kita peluang untuk membuat perubahan. PRN ini dilaksanakan dalam keadaan sebuah kerajaan Persekutuan yang stabil, telah pun dapat dibentuk. Gunakanlah peluang pilihan raya negeri-negeri ini, untuk kita memastikan semua negeri ini membentuk kerajaan yang seiring dengan Persekutuan. In Sha Allah, kita akan mampu membawa negeri-negeri berkenaan, melakukan perubahan dan hidup rakyatnya penuh dengan kesejahteraan.
Saudara saudari sidang perwakilan
71. Menanggapi hasrat dan harapan besar rakyat kepada kerajaan Madani, kita mempunyai tanggungjawab untuk memenuhi aspirasi mereka. Resah mereka dekat di hati kita. Masa hadapan mereka perlu terus kita bela. Sehubungan itu UMNO berpendirian:
72. Pertama, UMNO mencadangkan supaya Kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM). Ia bertujuan untuk mengawal selia ekosistem industri gig dan menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi bermula daripada penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja dan pengguna. Sektor ini kian berkembang pesat di negara ini dengan lebih 1.12 juta pekerja gig telah berdaftar dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (M-DEC). Tambahan pula lebih 80 peratus daripada pengguna ekonomi gig ini adalah terdiri daripada anak muda.
Justeru, jangan kita kesampingkan arus evolusi digital yang menguasai pasaran ekonomi internet Malaysia yang telah mencapai transaksi multi billion, sehingga mencecah RM52.4 billion pada tahun 2020 sahaja. Malah dijangka berkembang pada kadar 23% setiap tahun. Saya percaya dengan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig ini, ia akan memberi sinar baharu buat pemain ekonomi gig serta adik-adik Grab, LalaMove, Food Panda di luar sana. Ia juga akan membolehkan kerajaan menstrukturkan sistem percukaian ekonomi Gig yang menyaksikan pengaliran besar aliran tunai melalui perkhidmatan ini ke luar negara.
73. Kedua, kerajaan perlu memperkenalkan pelan FELDA 5.0 bagi menyediakan perancangan untuk generasi kelima FELDA. Tumpuan pelan ini melibatkan penyediaan pendidikan berkualiti, peluang keusahawanan, akses kepada teknologi, kemahiran yang bersesuaian dan perancangan perumahan yang selesa buat mereka.
74. Ketiga, kerajaan perlu memastikan pengagihan ekonomi dan kekayaan negara dapat dikongsi bersama khususnya buat masyarakat desa. Melalui proses urbanisasi, kerajaan mestilah merencana kemasukan industri-industri strategik bagi meransang pertumbuhan ekonomi kampung dan desa. Langkah ini juga merupakan ikhtiar kita untuk menoktahkan soal kemiskinan yang masih melingkari kehidupan rakyat di perdesaan.
75. Keempat, UMNO menggesa kerajaan agar dapat menyegerakan pelaksanaan semula pembangunan High Speed Rail (HSR) yang dimulakan oleh PM Ke-6, tetapi dikaji semula oleh PM Ke-7 dan dibatal oleh PM Ke-8. In Sha Allah kita yakin akan terlaksana di bawah PM Ke-10. Kita juga mahu agar pembinaan ECRL dan Pan Borneo, untuk manfaat rakyat Sabah dan Sarawak disiapkan mengikut jadual, supaya kemudahan ini menjadi pemangkin kawasan pertumbuhan baharu yang dapat menjana ekonomi, peluang pekerjaan dan membangunkan perusahaan-perusahaan kecil.
76. Kelima, UMNO mahu Kerajaan memastikan kebajikan penjawat awam dan pasukan keselamatan terus terbela khususnya dalam aspek perumahan, bebanan tugas guru, pelindungan hak sebagai pekerja, dan memastikan pasca pendamik ini, perkhidmatan kesihatan dipertingkatkan termasuk menyelesaikan isu perkhidmatan doctor-doktor kontrak. Saya yakin falsafah charity begins at home akan dihargai oleh semua.
Sidang perwakilan sekalian..
Adunan pengalaman kita mentadbir negara,
dengan idealisma rakan-rakan kita,
dalam meningkatkan soal tata kelola,
pasti membawa perubahan positif yang didamba.
Gandingan kita demi rakyat,
agar Malaysia beroleh berkat.
Gerakan kita sebagai pasukan,
semoga menatijah segala kebaikan.
Dengan latar kebersamaan yang telah dicerakinkan,
pendirian kukuh mempertahankan keindukan,
garis-garis besar menuju ke hadapan,
tawaran serta tekad untuk diterjemahkan,
Marilah bersama-sama kita bergandingan,
mencurahkan bakti demi kesejahteraan.
Ayuh!!
Kita bersama demi kestabilan,
Kita berusaha demi kemakmuran,
Kita bersekutu mengharungi cabaran
Kita berpadu mencipta kejayaan
Kita berkongsi satu impian
Kita nyalakan obor perjuangan
Kita genggam hasrat dan harapan
Kita teguh sederap satu barisan
Saya menyeru,
kita teguhkan kesatuan dalaman,
kita bulatkan tekadkan tanpa keraguan,
cukuplah lima tahun penuh keberantakan,
bersama kita menjana masa hadapan,
demi kelangsungan Kerajaan Perpaduan.
Kita bergerak atas nama persaudaraan
Kita berbakti atas persefahaman
Kita bersatu atas asas negara yang dipertahan
Kitalah pelindung… agama, bangsa dan watan
Hidup UMNO… Allahu Akbar
Sekian, wabilahhi tawfiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
You must be logged in to post a comment.