Berita

Aidiladha Raih Kesediaan Berkorban, Redha Atas Ketentuan-Nya – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Biarpun beliau bukan lagi wakil rakyat di Parlimen Putrajaya, namun semangat kebersamaan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam meraikan komuniti Putrajaya yang dianggap sebagai keluarga besarnya amat bermakna khususnya dalam sambutan Hari Raya Aidiladha.

Dalam kesempatan tersebut, beliau mengajak umat Islam khususnya warga tempatan untuk terus memanjatkan kesyukuran atas pelbagai nikmat dari Alah SWT termasuk dalam meraikan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

“Kita patut bersyukur kepada Allah SWT bahawa surau ini dapat melaksanakan korban untuk tahun ini,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Kenduri Komuniti dan Ibadah Korban Bersama UMNO Putrajaya yang diadakan di Surau Al-Musthofa Blok 4F Fasa 4 Presint 9, semalam.

Katanya, ibadah korban adalah ingatan terbaik kepada kita sebagai hamba-Nya.

“Ini merupakan pengorbanan-pengorbanan sebagai seorang hamba kepada Allah SWT. Ini juga menunjukkan bahawa dikalangan kita kadang-kala kita perlu redha apa yang diminta oleh agama untuk kita laksanakan.

“Apa yang kita lakukan demi untuk pembangunan Islam dalam negara kita ini, dalam dunia ini apa yang telah kita lakukan demi agama kita dan tanggungjawab kita sebagai umat.

“Jadi inilah pentingnya tiap-tiap tahun untuk kita diminta melaksanakan ibadah korban bagi yang berkemampuan kerana ia membawa satu pengertian yang mendalam,” katanya lagi.

Terdahulu beliau yang turut ditemani isteri Datin Seri Angraini Sentiyaki dan keluarga telah bersama-sama qariah surau terbabit bergotong-royong menyempurnakan pelaksanaan ibadah korban membabitkan lima ekor lembu.

Ini disusuli dengan acara masak-memasak dan jamuan makan tengahari bersama-sama selain agihan daging korban kepada penduduk di sini. – UMNOPutrajaya