Berita

Pilih Pemimpin Bertanggungjawab, Salah Pilih Akan Hilang Tempat Mengadu Untuk Membantu – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 3 Julai – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menasihati orang ramai khususnya pengundi yang bakal melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi untuk bijak menentukan wakil rakyat mereka demi masa hadapan.

Ini kerana katanya, natijah daripada tersalah pilih akan memberi kesan yang sangat besar untuk suatu tempoh sepenggal iaitu lima tahun kerana wakil rakyat yang dipilih akan memainkan peranan kepada komuniti setempat serta pembangunan dan kemajuan kawasan yang dipertanggungjawabkan.

“Ambilah Putrajaya sebagai tauladan terbaik kerana kita dengar sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini macam-macam cerita termasuklah ‘Putrajaya Era Baharu’ tapi apa era baharu yang ada?

“Saya pun tak tahu kerana sehingga hari ini era pun tak nampak, baharu pun tak nampak tapi yang kita tahu macam-macam alasan diberi. Apabila ada orang nak bertemu dengan wakil rakyat Putrajaya, dia punya alasan dari pegawainya suruh ke Pusat Khidmat Masyarakat UMNO Putrajaya di Presint 15 … itulah yang berlaku sekarang ini,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian dalam ucapan ketika menghadiri Program Kenduri Komuniti MPPSZ2 bersempena Hari Raya Aidiladha di Surau Al-Insanniah, Presint 9, semalam.

Tengku Adnan juga menekankan bahawa kebertanggungjawaban terhadap amanah rakyat adalah keutamaan.

“Sebagai wakil rakyat perlulah sedar bahawa mereka adalah hamba kepada rakyat dan bukannya rakyat itu hambanya, itu yang paling penting.

“Apabila berniat untuk menjadi wakil rakyat maka lakukanlah dengan sedaya upaya dan bukan dengan macam-macam alasan diberikan kepada rakyat, kononnya mereka bukan kerajaan, kerajaan ini bukan di bawah dia, dia bukan menteri jadi apa yang telah dijanjikan tidak akan ditepati.

“Saya sebagai orang tua dalam kawasan ini (Putrajaya), mantan ‘ketua kampung’ yang lebih dari 20 tahun di Putrajaya maka saya kenal adik-beradik saya dalam kawasan ini. Justeru saya tidak rela apa yang berlaku kepada warga Putrajaya yang sekarang ini seperti anak ayam hilang ibu sehinggakan tidak tahu kemana nak mengadu,” ujarnya.

Kerana itu katanya, beliau terus mengaktifkan Pusat Khidmat Masyarakat UMNO Putrajaya untuk bergerak semula bagi membantu komuniti Putrajaya sebaik mungkin.

Dilaporkan, enam negeri bakal mendepani PRN dalam tempoh terdekat iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang.

Dalam masa yang sama Tengku Adnan merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli UMNO yang terus menyokong perjuangan parti.

“Terima kasih kerana ahli-ahali masih tetap bersama UMNO untuk memastikan kesinambungan perjuangan berterusan demi masa depan agama, bangsa dan negara.

“Saya berharap walaupun kali ini kita telah kalah sebagai ahli Parlimen dalam kawasan ini tapi insya-Allah sebagai Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, kita akan terus berkhidmat demi pastikan segala keperluan-keperluan yang diperlukan oleh penduduk di kawasan ini terus dilaksanakan,” katanya lagi. – UMNO Online