Berita

Biro Pendidikan Putrajaya Kemuka Cadangan Tambah Baik Sistem Pendidikan

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek memberi jaminan akan mengambil maklum dan meneliti cadangan-cadangan yang dikemukakan Biro Pendidikan UMNO Bahagian Putrajaya untuk menambah baik sistem pendidikan di Putrajaya.

Demikian maklum Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Hisamudin Yahaya yang juga Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian terbabit.

Ini susulan daripada pertemuan anggota biro terbabit dengan YB Fadhlina yang dilaksanakan di pejabatnya, di sini.

Menurut Hisamudin, dalam pertemuan terbabit Biro Pendidikan Putrajaya telah mengemukakan cadangan selepas menerima maklumat daripada pelbagai pihak termasuk dari YDP, warga pendidik, ibu bapa dan orang ramai yang mahukan penambahbaikan diambil seiring dengan keperluan dan kehendak semasa dalam pendidikan anak-anak di Putrajaya.

“Isu-isu berkaitan bidang pendidikan sentiasa menjadi perhatian umum justeru, kami yakin kerajaan sentiasa berusaha untuk melakukan anjakan paradigma dalam sektor pendidikan, biarpun ia mendapat pelbagai reaksi berbeza daripada warga pendidik sendiri termasuk ibu bapa.

“Perbezaan pendapat sedikit sebanyak dapat membantu pihak kerajaan melakukan penelitian lebih proaktif supaya ia dapat membantu para pelajar menerima pendidikan terbaik demi menghadapi cabaran yang semakin kompleks,” katanya.

Dalam masa yang sama, Hisamudin merakamkan ucapan penghargaan dan berterima kasih kepada Fadhlina atas keterbukaannya menerima kunjungan anggota biro.

“Majlis pertemuan ini berlangsung selama satu jam setengah dalam suasana yang sangat harmoni di mana YB Menteri turut mengucapkan penghargaan atas pandangan dan cadangan yang dikemukakan sebelum sebarang bentuk tindakan dibawa ke peringkat perbincangan bersama pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidkan Malaysia (KPM).

“Barisan Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan UMNO Putrajaya mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Menteri atas kesudian menerima kunjungan kami di KPM,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya