Berita

The Invisible MP’s Muncul Selepas ‘Panas’ Dengan Kenyataan Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Kenyataan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga mantan Ahli Parlimen Putrajaya semalam telah ‘menjemput’ keluar Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin.

Semalam Tengku Adnan membidas Ahli Parlimen Putrajaya yang menggunakan tagline ‘Era Baharu’ itu lantaran dilihat lebih banyak memberikan alasan daripada melaksanakan janji-janjinya dan menghulurkan bantuan kepada penduduk tempatan.

Bagi penduduk tempatan, Jannah Ismail, berpandangan bahawa Radzi hanya bertanding untuk menang tetapi tiada minat untuk berkhidmat sebagaimana dilakukan oleh ahli-ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) yang hanya muncul apabila musim pilihan raya sahaja.

“Era baharu beliau adalah slogan yang tidak bermakna. Orang sepertinya memaparkan imej buruk ahli politik. Parti dia kaya tapi duit mereka eksklusif digunakan untuk kain rentang pilihan raya dan juga sebagai umpan memancing undi nanti.

“Sebelum ini dia bertanding di Ketereh tapi kalah dengan Tan Sri Annuar Musa… terus pula bertanding di Putrajaya sedangkan beliau adalah orang luar malah sebelum itu banyak habiskan masa di luar negara iaitu Australia maka harap-harap janganlah bawa budaya luar ke Putrajaya ini,” katanya.

Begitu juga dengan pandangan Mohd Faiz Naim yang merupakan pengundi di Putrajaya menganggap bahawa Ahli Parlimen baharu Putrajaya kini tidak boleh melaksanakan apa yang telah anda lakukan sebagai Ahli Parlimen sebelum ini.

“Terlalu banyak khidmat dan jasa Tengku Adnan sedangkan Radzi seakan masih tercari-cari apa nak dibuat.

“Biarpun wujud ‘Putrajaya Care’ seperti yang dicanang tapi malangnya ia adalah bersifat online sedangkan Pusat Khidmat UMNO Putrajaya menyediakan pertemuan bersemuka, bantuan tak putus…”

Katanya lagi, tindakan sebegini hanya memburukkan imej ahli-ahli politik yang benar-benar ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat.

Seorang lagi penduduk yang juga penjawat awam tapi enggan mendedahkan namanya berkata, jika alasan Radzi tak tunai janji atau tak dapat bantu rakyat adalah kerana bukan kerajaan pusat sangat tidak relevan.

“Dulu lepas PRU 2018 BN tumbang jadi kerajaan pusat tapi waktu itu Tengku Adnan yang bergelar MP pembangkang tetap hulur bantuan, zaman PKP tak ada sesiapa yang boleh nafikan barangan dapur dari makanan kering sampai makanan siap bermasak di hantar ke pintu-pintu rumah.

“Saya yakin bahawa penyokong Radzi adalah orang luar yang tak tahu apa-apa berkaitan warga Putrajaya dan lebih buruk apabila menggunakan pentas politik untuk kepentingan diri.”

Tinjauan ke dalam Facebook Radzi rata-rata komen yang dipaparkan adalah yang berpihak kepadanya. Difahamkan bahawa mesej dari komuniti setempat yang tidak sealiran dan menyokong Tengku Adnan telah dipadam bagi mengelirukan khalayak.

Terdahulu dalam kenyataan semalam, Tengku Adnan mengajak rakyat untuk ambil Putrajaya sebagai tauladan bagi mendepani PRN kelak.

“Apabila berniat untuk menjadi wakil rakyat maka lakukanlah dengan sedaya upaya dan bukan dengan macam-macam alasan diberikan kepada rakyat, kononnya mereka bukan kerajaan, kerajaan ini bukan di bawah dia, dia bukan menteri jadi apa yang telah dijanjikan tidak akan ditepati,” katanya. – UMNOPutrajaya