Berita

PRN: Pilih Pemimpin Yang Dah Terbukti Jaga Rakyat, Tolak Politik Retorik PN

PUTRAJAYA – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menasihatkan orang ramai khususnya yang bakal melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada 12 Ogos depan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk memilih pemimpin yang telah terbukti bertanggungjawab dan berkhidmat kepada rakyat.

Katanya, rakyat perlu tolak politik retorik seperti Perikatan Nasional (PN) yang terbukti lebih banyak berjanji sedangkan apabila mendapat kuasa pelbagai alasan yang diberikan.

“UMNO/BN tak banyak alasan, kita janji apa yang kita rasakan mampu untuk laksana, bukan janji bulan bintang itu ini sedangkan apabila dah jadi wakil rakyat sebaliknya yang jadi… konon bukan kerajaan pusat, bukan menteri, tak dapat itu inilah… macam-macamlah lagi,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian selepas menyampaikan ucapan sewaktu merasmikan Putrajaya Football Academy Cup di sini, hari ini.

Katanya, ketika kepimpinan BN sebagai kerajaan, hasrat waktu itu adalah perancangan ke arah menjadikan Putrajaya Bandar Belia iaitu pelbagai kemudahan kepada golongan muda dari pelbagai latar belakang disediakan.

“Putrajaya Football Academy Cup adalah antara uasaha yang direalitikan melibatkan anak-anak muda belia Putrajaya dari zaman pentadbiran BN. Kita menyokong generasi muda yang aktif cergas sebagaimana suatu waktu dulu hasrat BN jadikan Putrajaya Bandar Belia.

“Di sini banyak kemudahan yang disediakan untuk anak muda dan kini ia memberi manfaat dan masih diaktifkan. Insya-Allah padang ragbi juga akan jadi kenyataan di Wetland hasil dari usaha kepimpinan pentadbiran dahulu. Moga terus sejahtera anak-anak Putrajaya dan warga keseluruhan,” katanya.

Dalam hal ini beliau menegaskan bahawa negara perlukan barisan kepimpinan yang pernuh berkomitmen dan mampu menjana usaha berterusan untuk kesinambungan pembangunan.

“Apa jadi projek Jana Wibawa, BestariNet dan yang seangakatan dengannya? Inilah jadinya apabila ada menteri atau pemimpin yang tidak kompeten dalam pentadbiran yang PN yang sekejap namun kesannya sehingga kini.

“Sekarang ini ada ruang dan peluang untuk buktikan bahawa PN perlu ditolak dan negeri-negeri yang bakal mendepani PRN biarlah selari pentadbirannya dengan kerajaan Pusat agar banyak perkara khususnya pembangunan dapat dilaksanakan secara terus,” katanya.

Apa yang lebih penting katanya, hasrat anak muda untuk pembangunan masa hadapan dengan kebersamaan masyarakat majmuk yang sejahtera dapat dilaksana.

“Sudah-sudahlah, rakyat juga jangan termakan gula-gula politik dan ‘agihan’ yang hanya untuk kenyang dua hari sedangkan sepenggal atau lima tahun rakyat derita,” katanya lagi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN). Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. – UMNO Online