Berita

Ahli-ahli UMNO Perlu Matang, Tolak Adu Domba Runtuhkan Parti – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa ahli-ahli UMNO untuk berfikir secara matang berkaitan situasi politik semasa dengan menolak adu domba pihak lawan yang sengaja mahu meruntuhkan parti.

Katanya, usia UMNO sudah melebihi 77 tahun dan sepanjang usianya UMNO telah melalui pelbagai cabaran dan mendepani pelbagai krisis namun hari ini berada dalam penolakan dari rakyat apabila tewas dalam pilihan raya termasuklah PRN baru-baru ini.

“Justeru adalah menjadi tanggungjawab bagi ahli-ahli UMNO pelbagai peringkat iaitu dari kepimpinan atas hinggalah ke akar umbi untuk bersama-sama mempertahankan perjuangan parti yang nyata demi agama, bangsa dan negara.

“Dakwaan UMNO dipersimpangan jalan, perlu kembali ke pangkal jalan atau kenyataan tidak relevan adalah kata-kata yang dihamburkan oleh mereka yang mahu melihat UMNO terus lemah lantas terkubur. Maka kita selaku ahli-ahli UMNO tidak boleh berdiam diri dan menerima tohmahan negatif serta adu domba mereka yang hanya mahu melihat UMNO hancur.

“Lebih-lebih lagi apabila hal terbabit lebih banyak keluar dari mulut orang luar iaitu pihak lawan dan mereka yang bukan berkait dengan UMNO,” katanya kepada UMNO Online

Untuk itu, Tengku Adnan meminta ahli-ahli UMNO untuk berfikir secara matang bagaimana tindakan pihak lawan yang telah bertahun-tahun melempar tuduhan, mencipta manipulasi dan persepsi bagi meruntuhkan UMNO.

“Tidak cukup dengan serangan politik maka kepimpinan dan tuduhan secara peribadi dibuat. Sekarang ini serangan bertali arus kepada organisasi kepimpinan UMNO dan institusi Presiden parti dibuat.

“Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi nakhoda UMNO digesa meletak jawatan dan bertanggungjawab atas pelbagai permasalahan yang berlaku sedangkan sewajarnya kita sama-sama bermuhasabah serta memperbaiki kelemahan untuk masa hadapan.

“Sememangnya bukan mudah pilihan yang Presiden UMNO lakukan apatah lagi mengambil alih kepimpinan tatkala UMNO tewas dalam PRU, kemudian ditekan dari pelbagai sudut termasuklah tawaran pelbagai jawatan asal saja UMNO dibubarkan. Keengganannya menyebabkan pertuduhan undang-undang diwujudkan dengan pelbagai dakwaan yang sengaja diada-adakan.”

Jelasnya, UMNO melalui pelbagai liku, dari kekalahan pada 2018, menjadi pembangkang, sebahagian dari kerajaan dan hari ini bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Benar bahawa suatu masa Presiden sendiri yang melaungkan ‘No PKR, No Dap dan No PPBM’ namun situasinya berubah selepas PRU-15 lalu. Fahamilah bahawa situasi politik semasa menuntut wujudnya Kerajaan Perpaduan yang menyebabkan UMNO/BN bersama-sama Dap dan PKR namun dalam kerajaan ini ada lagi parti-parti lain yang bersekutu hasil gabungan 19 parti politik keseluruhan.

“Pilihan ini dilaksana oleh kepimpinan UMNO adalah demi kesinambungan kewujudan parti ini sendiri malah yang utama adalah kestabilan dan kemakmuran negara yang ketika itu tergantung pembentukan kerajaan. Demi rakyat UMNO dalam Kerajaan Perpaduan. Buktinya sejak pembentukan kerajaan ini sehingga kini, keadaan negara lebih baik berbanding sebelumnya.

“Selaku ahli UMNO maka menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menolak kekeliruan dan memberikan kefahaman lantaran adu domba dari pihak luar. Lebih teruk lagi gesaan dan manipulasi ini datang dari mereka yang pernah menjadi pemimpin UMNO, pernah diangkat sebagai menteri melalui UMNO, menikmati kekayaan dan kemewahan hasil perjuangan dalam UMNO namun akibat rasa tidak puas hati maka UMNO kini menjadi serangannya.”

Tegasnya, berapa ramai hari ini anak bangsa kita yang telah mendapat manfaat hasil daripada perjuangan UMNO kerana UMNO adalah pelopor perjuangan kemerdekaan, membawa negara keluar dari arus kemiskinan melalui peningkatan pendidikan, berubah dari negara pertanian kepada industri dan mencapai kemodenan dengan pesat.

“Maka hari ini, janganlah ada anak bangsa kita yang nak bersifat ibarat kacang lupakan kulit.

“Sudah-sudahlah. Kembalilah kepada asas perjuangan sebenar kerana parti-parti politik yang melata sekarang ini kebanyakannya adalah hasil serpihan dari UMNO dan hanya mengundang perpecahan bangsa.

“Marilah kita sama-sama hentikan politik kebencian dan korupsi politik yang tidak menguntungkan agama, bangsa dan negara sebaliknya berpadulah atas tekad ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’. UMNO mesti kembali kukuh dengan ahli-ahlinya terus bersama mendukung organisasi Presiden dan mengangkat Perlembagaan Parti.”

Tengku Adnan juga meminta agar ahli-ahli UMNO bertaut dan kembali pada tekad untuk kekuatan selaku parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.

“Lebih dari itu, kepada seluruh bangsa Melayu marilah kita sama-sama berjihad memastikan Islam tidak tercemar, menentang kemungkaran khususnya mereka yang menggunakan agama demi kepentingan politik dan kuasa semata-mata. Tegakkan jihad kita bersama kembali kepada ajaran al-Quran & sunnah,” katanya lagi. – UMNO Online