Ahmad Zahid Lepas Pertuduhan, Ayuh Semarakkan Kembali Perjuangan UMNO – Tengku Adnan
KUALA LUMPUR, 5 Sept – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak ahli-ahli UMNO untuk menjadikan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang melepaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai permulaan untuk kembali menyemarakkan perjuangan UMNO.
Katanya, ia juga adalah iktibar kerana apa-apa sahaja kesulitan sama ada tuduhan dan pendakwaan bukanlah pengakhiran sebuah perjuangan sebaliknya ia adalah permulaan bagi menyemarakkan kembali perjuangan.
Semalam, Mahkamah Tinggi telah memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.
“Alhamdulillah. Tiada yang lebih bermakna bagi ahli-ahli UMNO termasuklah saya sendiri. Sungguh, berpeganglah kepada prinsip bahawa kebatilan akan terserlah dan kebenaran akan menang. Namun persoalannya berapa ramai pemimpin politik sanggup menghadapi onak dan duri sebegini malah saya sendiri telah melalui natijah enggan meninggalkan UMNO ketika itu hinggakan saya juga di heret ke mahkamah.
“Fahamilah bersama bahawa UMNO adalah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara. Justeru marilah kita sama-sama menjadikan keputusan mahkamah semalam sebagai penguat sokongan bagi menyemarakkan kembali perjuangan untuk ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit.
Dalam masa yang sama Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut mengimbau keadaan politik apabila semuanya bermula setelah Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pada 9 Mei 2018 yang menyaksikan pelbagai kecelaruan berlaku.
“Ketika itu bukan hanya ahli-ahli Parlimen yang ‘panas’ tetapi pemimpin dalam BN/UMNO juga demikian.
“Saya melaluinya dan merasainya… bukan kecil cabaran yang Datuk Seri Ahmad Zahid hadapi untuk berhadapan pendakwaan di mahkamah. Beliau menghadapinya selaku Presiden UMNO yang mengemudi parti pada waktu kekalahan, dipelawa untuk menyertai kerajaan parti lawan, malah ditawarkan jawatan asalkan sahaja menguburkan UMNO.
“Sungguh, ketika itu memang ramai juga pemimpin UMNO yang terpedaya, ada ahli-ahli Parlimen BN, ada ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, ada ketua-ketua bahagian malah mantan Ketua Puteri UMNO juga berpaling tadah sanggup meninggalkan parti lantas namanya ‘hilang’ dari senarai pendakwaan.
Katanya, salin dirinya sendiri yang telah merasai turun naik tangga mahkamah, Perdana Menteri ke-6 Datuk Seri Najib Tun Razak turut menjadi barisan pemimpin yang menerima pendakwaan di mahkamah termasuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan).
“Kepimpinan UMNO telah menjalani laluan hidup yang sukar, ditekan, dihimpit dan macam-macam keburukan dihamburkan selain caci maki dan hinaan dilemparkan serta dipalit fitnah.
“Namun atas paksi pada perjuangan dan enggan khianat atas nama agama, bangsa dan negara kesusahan dan kepayahan dilalui kerana keyakinan hanya pada Allah SWT,” katanya lagi.
Sebelum ini Mahkamah Rayuan pada 16 Julai 2021 telah melepas dan membebaskan Tengku Adnan daripada tuduhan rasuah, sabitan dan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta setelah lebih dua tahun menghadapi perbicaraan di mahkamah. – UMNO Online